Berita

KPWKM tumpu pembangunan dasar pastikan khidmat berkualiti untuk semua

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 24 Disember 2023 1:20 PM MYT

KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan memberi tumpuan kepada pembangunan dasar dan program bagi menangani pelbagai keperluan penduduk daripada penjagaan kanak-kanak hingga warga emas, memastikan akses dan perkhidmatan berkualiti tinggi untuk semua pada masa hadapan.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata KPWKM juga akan memberi tumpuan kepada inisiatif menyediakan penjagaan, mewujudkan peluang pekerjaan yang mampan, memupuk budaya empati dan menyokong serta membina masyarakat berdaya tahan dan prihatin yang boleh berkembang maju dalam menghadapi cabaran masa depan.

“Melihat ke hadapan, kami komited untuk meningkatkan ekonomi penjagaan, penting untuk mengukuhkan jaringan keselamatan sosial negara kita.

“Matlamat dengan harapan tinggi ini memerlukan usaha dan kerjasama kolektif, bukan sahaja dalam kalangan agensi kerajaan tetapi juga daripada (pertubuhan bukan kerajaan) NGO, persatuan komuniti, entiti sektor swasta dan pembabitan aktif masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nancy berkata tahun ini menandakan pencapaian penting KPWKM selepas berjaya mengadakan 13 siri jerayawara seluruh negeri untuk mempromosikan Akta Antigangguan Seksual.

Selain itu, Program Wanita Bangkit@KPWKM oleh Yayasan Kebajikan Negara (YKN) memberi impak positif kepada 9,430 wanita termasuk usahawan kecil dan mereka yang terjejas teruk akibat pandemik.

“Golongan wanita ini mendapat bimbingan dan sokongan daripada mentor berpengalaman dengan kerjasama YKN,” katanya.

Untuk menjaga hak dan kesejahteraan kanak-kanak, Nancy berkata KPWKM menubuhkan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak, beroperasi sejak 1 Sept 2023 dan berharap jabatan itu akan menjadi agensi bebas pada masa depan.

Selain itu, Nancy berkata kementeriannya akan membangunkan modul kursus yang komprehensif untuk penjagaan dan sokongan orang kurang upaya (OKU) bertujuan memupuk pembangunan potensi holistik mereka.

Sehubungan itu, kerajaan telah meningkatkan elaun pelatih OKU dalam Program Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) daripada RM150 kepada RM300 sebulan sekali gus mengesahkan komitmen terhadap pemerkasaan dan kebajikan mereka.

Berhubung musim hujan yang kini melanda negara, beliau menggesa rakyat Malaysia untuk terus berwaspada terhadap kemungkinan banjir.

“Mendapat pemakluman dan sentiasa bersedia adalah penting untuk keselamatan kita. Tahu mengenai lokasi pusat pemindahan sementara (PPS) terdekat dan dapatkan perkembangan terkini tentang ramalan cuaca.

“Saya juga menggesa anda semua untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan terutama golongan warga emas dan anggota masyarakat yang memerlukan,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas