Artikel

Pengajaran dari UMS

PELAJAR UMS membuat demo 'belum mandi' di hadapan Zambry baru-baru ini
- Diterbit 19 Januari 2024 11:30 AM MYT

TUJUH bulan lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan sesi diskusi atau town hall dengan pelajar dan kakitangan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Dalam sesi Temu Anwar di UMS itu, seorang pelajar bangkit bertanya tentang masalah air yang mereka hadapi di kampus itu.

Dalam video yang tersebar itu, Anwar dilihat bertanya kepada Naib Canselor berapa yang diperlukan untuk menyelesaikan masalah air di kampus UMS itu.

“RM700,000 itu cukup gerudi air? Total diperlukan berapa? Okey, satu gerudi air RM700,000 campur tiga, jadi saya luluskan RM3 juta.

“Untuk ini, sebab saya tidak mahu anak-anak (mahasiswa bermasalah). Ini keadaan sukar, saya ambil alih jawatan Perdana Menteri dalam keadaan hutang negara RM1.5 trilion,” jelasnya bagi menjawab persoalan pelajar UMS itu.

Saya difahamkan, selepas beberapa hari sahaja, wang RM3 juta itu telah disediakan segera untuk UMS bagi membolehkan masalah air itu diselesaikan serta-merta.

Ia telah memeranjatkan keluarga besar petugas IPT di seluruh negara kerana tindakan Anwar itu amat membanggakan mereka kerana ia tidak pernah dibuat oleh mana-mana pemimpin sebelum ini.

Namun selepas tujuh bulan berlalu, minggu lalu, tiba-tiba negara dikejutkan dengan pelajar UMS membuat demo ‘belum mandi’ ketika Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkunjung ke UMS.

Ekoran itu, Anwar mahu satu laporan penuh berhubung peruntukan dan pelaksanaan bagi menyelesaikan isu bekalan air di UMS seperti dibangkitkan tahun lalu.

Perdana Menteri (PM) berkata beliau pernah meluluskan peruntukan sebanyak RM3 juta kepada UMS bagi tujuan berkenaan pada Mei tahun lalu.

“Saya tidak ingat bila saya pergi ke UMS tapi saya dengar keresahan mereka (pelajar). Saya minta kepastian daripada Naib Canselor dan saya luluskan. Jadi saya tidak mengerti (kenapa isu belum selesai) tapi mungkin projek itu mengambil masa.

“Jadi saya nak minta laporan penuh dan apa jadi sejak Menteri Kewangan luluskan peruntukan segera RM3 juta bagi menyelesaikan masalah air di universiti berkenaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini 9 Januari lepas.

Kita yakin, PM Anwar sangat kecewa dengan apa yang berlaku. Ini kerana, beliau secara terus meluluskan peruntukan RM3 juta itu, tetapi selepas tujuh bulan ia belum diselesaikan.

Seminggu sebelum itu, PM Anwar baru sahaja umumkan­ tentang kewajiban kementerian, jabatan dan agensi k­erajaan mengemukakan laporan bulanan berkenaan kemajuan serta sumbangan penjawat awam dalam melaksanakan setiap projek kerajaan.

PM Anwar berkata laporan tersebut perlu dihantar melalui Ketua Pengarah (KP) atau Ketua Setiausaha (KSU) kementerian kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) untuk dimaklumkan kepada beliau.

“Selalunya bila ketua-ketua jabatan, KSU jumpa dalam perbincangan, mesyuarat-mesyuarat jawatankuasa Kabinet, semua akan memberi cadangan tambah projek, ya memang dibolehkan.

“Tetapi ada keadah baharu yang kita hendak perkenalkan, mesti ada laporan bulanan apa yang dilakukan, apakah sumbangan saudara-saudara dalam usaha untuk melaksanakan projek itu.

“Dan laporan bulanan ini harus dihantar melalui KP atau KSU kepada KSN dan juga untuk makluman saya supaya ada pendekatan yang agak berbeza,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri 8 Januari lalu.

Pendekatan ini diambil seolah-olah beliau tahu, jika ia tidak dikawal, perkara seperti yang berlaku di UMS itu akan berlaku di tempat lain.

Kita yakin, dilema yang berlaku tentang masalah air di UMS ini bukan satu-satunya isu yang dihadapi rakyat tetapi gagal diselesaikan dengan secepat mungkin oleh pihak-pihak yang sepatutnya.

Isu pelajar tidak boleh mandi di UMS ini kita tahu kerana ia berlaku kepada anak muda yang jiwanya panas dan ghairah. Mereka bangkit menyuarakan masalah mereka kepada orang, masa dan suasana yang tepat.

Bagaimana dengan isu-isu lain yang terpendam. Kita bimbang ia umpama api dalam sekam yang ada dalam masyarakat, yang kita sendiri tidak sedar kehadirannya. Saya bimbang, ia merebak secara senyap dan akhirnya meletup.

Kita berharap pendekatan yang diambil oleh PM agar laporan berkala ini (sebulan sekali) berjaya menyelesaikan masalah ini. Kita berharap, apa-apa sahaja isu yang sedang bergerak berjaya di sekat segera ketika ia masih kecil.

Wallahualam.

Penulis adalah pengamal media yang berminat dengan politik.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas