Berita

Penduduk Labuan diseru ambil manfaat PJKM

AMIR (tengah) menunjukkan penurunan harga ayam pada Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang ditawarkan oleh pasar raya di sini.
- Diterbit 2 Februari 2022 8:46 AM MYT

PENDUDUK di pulau bebas cukai ini digesa memanfaatkan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan bagi membantu menangani kos sara hidup ketika ini.

Pengerusi Perbadanan Labuan, Datuk Seri Amir Hussien berkata, PJKM menawarkan pelbagai pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan barangan keperluan asas dan harian seperti gula, tepung, beras, minyak masak dengan harga lebih rendah berbanding harga pasaran setempat.

“Ini adalah langkah yang amat baik dan penduduk Labuan harus mengambil peluang agar berkunjung ke pasar raya yang mengikuti PJKM pada masa ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan harga barang sempena sambutan Tahun Baru Cina di sebuah pasar raya di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai isu kenaikan kos sara hidup, beliau berkata kos pengangkutan yang dikenakan perlu dikaji semula yang menjadi faktor utama terhadap kenaikan harga barangan ketika ini.

Pihak kerajaan dan pengusaha perlu mengambil satu langkah yang efektif secara bersama dalam menangani isu kenaikan harga barangan tersebut.

“Bagi membantu penduduk di pulau ini, kita merancang untuk mengadakan satu program CSR secara berpanjangan.

“Kita berharap kerajaan mampu memberikan subsidi kepada pengusaha-pengusaha yang terlibat,” katanya lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas