Berita

Pencahayaan bendera Uzbekistan, Malaysia hiasi Pintasan Saloma

PENCAHAYAAN pada waktu malam lebih memukau.
- Diterbit 2 September 2021 6:32 AM MYT

SEMPENA memperingati ulang tahun kemerdekaan ke-30 Uzbekistan pada 1 September, Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) menetapkan tema pencahayaan Pintasan Saloma dengan warna bendera negara tersebut.

Sinaran menggunakan warna biru muda, putih, hijau dan merah, pencahayaan yang bermula pukul 7 malam sehingga 12 tengah malam itu akan berlangsung sehingga 16 September.

PKB dalam satu kenyataan memaklumkan, pencahayaan warna tersebut akan berselang seli dengan tema Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

“Dalam tempoh 10 minit, warna bendera akan bertukar-tukar. Pencahayan bendera Uzbekistan memberikan impak baru dalam mempromosikan lagi jambatan ikonik Pintasan Saloma ke peringkat dunia.

“Di samping itu, dapat memperkukuhkan persahabatan dan persefahaman antara kedua-dua negara iaitu Malaysia dan Uzbekistan,” katanya.

Tambahnya, Pintasan Saloma bukan hanya menjadi ikonik pelancongan baru dan mercu tanda pencahayaan kempen di Malaysia dan dunia, malah kini ia menjadi medium mempromosikan Hari Kemerdekaan sesebuah negara serta lambang penyatuan Malaysia dengan negara luar. – WILAYAHKU

PINTASAN Saloma dihiasi pencahayaan yang memaparkan bendera Uzbekistan
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas