Berita

PKB hanya pemudah cara, perjanjian usahasama antara pemilik tanah dan pemaju

- Diterbit 2 September 2021 7:11 AM MYT

PERBADANAN Pembangunan Kampong Bharu (PKB) menegaskan bahawa pihaknya hanya berperanan sebagai pemudah cara antara pemilik rumah di Kampung Sungai Baru dengan pihak pemaju, Ritzy Gloss Sdn Bhd.

Malah, dakwaan Pengerusi Persatuan Komuniti Sungai Baru, Syed Salehuddin Syed Abdullah yang dikeluarkan menerusi akhbar tempatan pada 30 Ogos lalu, adalah tidak benar berikutan pembangunan semula adalah inisiatif kerjasama pemaju dan penduduk setempat.

PKB menerusi kenyataan memaklumkan, pihaknya bertindak sebagai fasilitator bagi membantu melancarkan pelaksanaan pembangunan semula selaras fungsinya yang dinyatakan dalam Akta Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (Akta 733).

“Peranan PKB adalah pemudahcara dan membantu sesi libat urus pemilik tanah, membantu penyelesaian isu harta pusaka dengan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG), membantu proses penyempurnaan pindah milik strata, membantu perundingan isu-isu teknikal dan menguruskan pemantauan projek bersama pihak Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Perjanjian usahasama tersebut adalah di antara pemilik tanah atau petak dengan pihak Ritzy Gloss Sdn Bhd. PKB tidak dirujuk di dalam mana-mana terma berkaitan perjanjian tersebut,” jelasnya.

Oleh yang demikian, kata kenyataan itu, perjanjian tersebut merupakan perjanjian yang dipersetujui kedua-dua pihak yang terlibat dimana PKB tiada sebarang kepentingan dan pengetahuan ke atasnya.

Mengulas lanjut, katanya, pewartaan Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah, 1960 bagi projek berkenaan telah diwartakan melalui Warta Kerajaan Persekutuan No. 9412 bertarikh 21 Jun 2021.

“Proses pengambilan tanah masih di peringkat siasatan JKPTG Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Bagi lot atau petak yang terlibat dengan pengambilan tanah ini, bayaran pampasan yang munasabah dan mencukupi akan diberikan kepada pemilik dan pihak berkepentingan yang terlibat.

“Bayaran pampasan yang mencukupi adalah berdasarkan Jadual Pertama, Akta Pengambilan Tanah, 1960 yang telah menggariskan prinsip-prinsip berhubung dengan penentuan pampasan,” maklum kenyataan itu.

Sehubungan itu, katanya, PKB berharap, projek pembangunan semula Sungai Baru menjadi antara projek perintis dalam memajukan dan membangunkan semula Kampung Baru.

Tambahnya, pada masa sama, menaik taraf kehidupan pemilik-pemilik melalui hartanah secara menyeluruh dan bersepadu jangka panjang bagi memberi keselesaan kepada pemilik, menangani isu kemelesetan ekonomi, keusangan fizikal, tidak ekonomik dan memperbaiki persekitaran bandar.

Menerusi laporan akhbar yang diterbitkan itu, Syed Salehuddin menyatakan, perjanjian pembangunan semula Kampung Sungai Baru di Kampong Bharu samar dan berat sebelah antara punca 110 penduduk di kawasan itu menolak tawaran tersebut lima tahun lalu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas