Berita

Pemuisi anjur Apresiasi Pemuisi Kemanusiaan Sedunia 2020

- Diterbit 13 Oktober 2020 6:05 AM MYT

PERSATUAN Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) akan menganjurkan program Apresiasi Puisi Kemanusiaan Sedunia 2020 secara dalam talian bermula 10 malam 24 Okt hingga 10 malam 26 Okt.

Presiden PEMUISI Datuk Dr Radzuan Ibrahim berkata program ini terbuka kepada semua penduduk dunia, tidak kira bangsa, agama dan di mana juga mereka berada, asalkan puisi yang ditulis atau dibacakan itu dalam bahasa Melayu.

“Marilah kita memeriahkan hari-hari kita dengan puisi-puisi kemanusiaan yang berhemah, indah dan mengingatkan kita, penduduk dunia tentang nilai-nilai kemanusiaan sejagat untuk kita sama-sama menghayatinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya puisi dan video puisi tersebut mestilah dimuat naik ke laman Facebook PEMUISI Berkarya dan boleh juga dikongsi di media sosial yang lain.

“Namun begitu, pihak penganjur berhak untuk membuang atau menolak puisi-puisi yang berunsur tidak baik, tidak bermoral, lucah, atau yang berlawanan dengan norma-norma kemanusiaan.

“Semua puisi atau video bacaan puisi itu mestilah diletakkan hashtag #pemuisinasionalmalaysia #puisikemanusiaansedunia dan logo PEMUISI,” katanya.

Setiap penyertaan dalam tempoh yang ditetapkan itu akan dicatatkan dalam Jurnal PEMUISI dan akan diberikan sijil penyertaan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas