Berita

Pemergian Salahuddin satu kehilangan besar – PM

- Diterbit 23 Julai 2023 3:22 PM MYT

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pemergian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub, secara peribadi, sebagai satu kehilangan yang besar buat beliau serta keluarganya.

Mengakui terkesan dengan khabar duka itu, Perdana Menteri berkata jasa Allahyarham yang juga  Timbalan Presiden Amanah tentunya tidak mampu dibalas secara materi.

“Beliau dikenali kerana punyai sikap keperibadian yang tinggi, sama ada kepada kawan mahupun lawan. Sosok yang kuat bekerja dan sangat taat pada amanah dan tanggungjawab.

“Berehatlah, sahabatku,” katanya dalam hantaran di laman Facebook malam ini.

Perdana Menteri turut berdoa agar Allah SWT memberi kesabaran yang tinggi buat keluarga Allahyarham, mengampunkan segala dosa dan berdoa agar roh Allahyarham diberikan tempat yang istimewa di sisi-Nya.

Salahuddin meninggal dunia pada 9.23 malam ini pada usia 61 tahun di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.

Semalam, Setiausaha Akhbar kepada Salahuddin iaitu Syakirin Husnal memaklumkan beliau dikejarkan ke wad kecemasan HSB pada 10.15 malam Jumaat dan mendapat rawatan setelah mengalami mual serta muntah-muntah sebelum disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas