Berita

Pembangkang, hentikan hasrat tebuk atap – PM

- Diterbit 1 Disember 2023 12:10 AM MYT

Kerajaan Perpaduan semakin kuat, MP PN beralih sokongan

KERAJAAN
Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin mendapat sokongan apabila Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) Bukit Gantang, Datuk Seri Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mengumumkan sokongan terhadap kerajaan sekali gus meleburkan impian pembangkang untuk mengambil alih kerajaan melalui pintu belakang.

Tindakan Syed Abu Hussin itu menjadikan kini lima ahli parlimen PN yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan.

Ketika mengumumkan perkara itu dalam sesi jawaban lisan Perdana Menteri (PMQT) di Parlimen baru-baru ini, Syed Abu Hussin turut mengajak bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membantu Anwar dalam membina gagasan Malaysia MADANI serta menyeru ahli parlimen pembangkang untuk berunding dengan pihak kerajaan.

“Saya meminta Tambun, Pagoh dan­juga Bera, buanglah yang keruh ambillah yang jernih, marilah Pagoh dan Bera kerana keduanya bekas Perdana Menteri bersama-sama membantu Tambun (Anwar) membina masyarakat MADANI.

“Kepada ahli parlimen pembangkang pula marilah kita berunding sebaik-baiknya dengan pihak kerajaan sebagaimana persefahaman semasa Bera (Ismail) menjadi Perdana Menteri ke-9.

“Saya sendiri bersedia untuk memberi dan membantu kerajaan dalam mewujudkan masyarakat MADANI menangani kenaikan harga barang dan kos sara hidup dengan mengambil ibrah Nabi Yusuf, dengan ini Bukit Gantang mengisytiharkan menyokong Tambun sebagai Perdana Menteri dan gagasan Kerajaan MADANI,” katanya.

Bagaimanapun, reaksi daripada beberapa wakil pembangkang sudah diduga apabila Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menuduh Anwar sengaja menahan peruntukan kepada Ahli-Ahli Parlimen pembangkang namun ia diselar Perdana Menteri kerana beliau terbuka dan perlu melalui kaedah rundingan dengan Timbalan Perdana Menteri (TPM) 2, Datuk Seri Fadillah Yusof tanpa mewajibkan mereka menyokong Perdana Menteri.

Anwar berkata beliau tidak pernah menyuruh mana-mana Ahli Parlimen Pembangkang untuk membodek beliau demi mendapatkan peruntukan.

“Setakat yang saya bincang dengan TPM Kedua, tidak ada kata kata wajib sokong Perdana Menteri untuk dapatkan peruntukan.

“Ini bincang tidak, sombong bukan main. Saya sebagai Ketua Pembangkang, bila dipanggil, memang Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin) tak mahu jumpa (saya), dia ada kelas lain, tapi Bera (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) dia jumpa dan kita bincang. Jadi saya tak ada masalah tak terasa terhakis pengaruh atau kedudukan,” jelas Perdana Menteri lagi.

Biarpun berbeza ideologi politik, Anwar menegaskan, beliau sentiasa mengiktiraf kedudukan ketua-ketua kerajaan negeri, biarpun mereka berstatus pembangkang di peringkat Persekutuan termasuk memastikan Menteri Besar (MB) Kedah, Datuk Seri Mohamad Sanusi Md Nor dan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli turut bersama-sama dengannya dalam pertemuan rasmi dengan Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin pada Isnin.

“Saya pergi ke Kedah berunding dengan Perdana Menteri Thailand di sempadan Sadao dan Bukit Kayu Hitam, memang tidak diundang Menteri Besar Perlis dan Kedah. (Tetapi) saya putuskan undang, PM Thailand tidak mengundang Menteri Besar untuk makan tengah hari di Sadao, saya bagi nota minta kepada Perdana Menteri (Thailand), oleh kerana dia (MB Kedah) ikut rombongan, minta disamakan dalam jawatankuasa itu kerana saya tahu had saya.

“Saya boleh berbeda pendapat daripada segi politik, tetapi saya iktiraf kedudukan, bahawa dia memang dipilih sebagai MB Perlis dan Kedah. Jadi ada hadnya, jangan hina lebih dari itu. Saya juga tahu had saya,” katanya ketika menjawab tuduhan Takiyuddin.

Dengan perkembangan baharu itu, pembangkang kini sudah boleh melupakan terus igauan untuk menjadi kerajaan pada penggal ini menerusi ‘tebuk atap’ dan demi memastikan negara berada di landasan tepat.

Walaupun dengan meletakkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon PAS di Pilihanraya Kecil Parlimen Kemaman, tahap sokongan kepada Anwar semakin kuat dan utuh sekali gus tidak mengubah apa jua keadaan di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Terdahulu, 12 Oktober lalu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri menerusi kenyataan medianya menyokong Anwar atas apa-apa usaha yang dilakukan bagi mengukuhkan ekonomi negara.

Tindakan Iskandar Dzulkarnain kemudian diikuti Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman pada 30 Oktober lalu, Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim pada 7 November diikuti Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik pada 8 November.

Kesemua ahli parlimen terbabit menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri setelah mengambil kira keperluan rakyat di samping bersetuju dengan usaha berterusan serta inisiatif pengukuhan ekonomi yang dilaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas