Berita

Tuduhan beli MP tidak berasas

ANWAR ketika ucapan penggulungan pada Kongres Nasional PKR 2023 di PICC.
- Diterbit 1 Disember 2023 12:15 AM MYT

KECOH dan tular dalam media sosial kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyogok beberapa ahli Parlimen pembangkang untuk menyokongnya baru-baru ini.

Maka muncullah komen-komen sinis yang mendakwa Anwar sudah tiada sokongan dan terpaksa menggunakan cara kotor demi meraih sokongan.

Apatah lagi ada yang mengaitkan, PMX kononnya cuba mengugut ahli-ahli Parlimen tersebut akan disabitkan kesalahan dan bakal berdepan proses mahkamah, jika tidak menyokong beliau.

Sebagai balasan kepada sokongan yang diberikan, dikatakan mereka akan diberi peruntukan berbanding pembangkang lain yang tidak menyatakan sokongan.

Namun ternyata ia merupakan tuduhan tidak berasas sama sekali. Baru-baru ini Anwar menegaskan keputusan ahli Parlimen pembangkang menyokongnya disebabkan mereka yakin dengan keputusan dan dasar dilaksanakan Kerajaan Perpaduan.

Malah beliau berpandangan ahli Parlimen terbabit juga yakin dengan perkembangan ekonomi yang dikemudi kerajaan di bawah pimpinannya.

“Sebab itu ahli Parlimen menyeberang, dia kata kita bagi sogokan, (sedangkan) tak ada, saya tak jumpa mereka sebelum mereka buat keputusan dan apabila mereka kata nak jumpa, saya kata buat keputusan dahulu, boleh jumpa.
“(Jadi) mereka buat keputusan kerana tahu dasar kita, dia lihat perkembangan ekonomi dan negara ini, selainnya (adalah mengenai) peruntukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional PKR 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), baru-baru ini.

Justeru, beliau mengingatkan semua ahli parti supaya tidak bimbang kerana keadaan politik ketika ini adalah stabil.

“Dalam PN (Perikatan Nasional), apa lagi yang dia tak sebut, kerajaan goyang, ada harapan lagi (nak tumbangkan kerajaan), kalau tak (berkata sebegitu), orang tinggallah parti itu.

“Kalau PAS lain la juga, dia ada walak, kalau BERSATU tak ada, sebab itu ahli Parlimen (­mereka) menyeberang, dia kata (tuduh) kita bagi sogokan, tak ada, saya tak jumpa mereka pun sebelum mereka buat keputusan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas