Berita

Peluang luas skuad hoki negara ke Piala Dunia 2022/2023

SKUAD hoki negara punya masa depan cerah.
- Diterbit 4 Jun 2020 7:36 AM MYT

KUALA LUMPUR – Peluang skuad hoki negara untuk beraksi dalam Piala Dunia 2022/2023 kini semakin terbuka luas apabila Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) mengumumkan penambahan kuota kelayakan automatik ke Piala Dunia 2022/23 menerusi kejohanan-kejohanan kontinental, daripada enam ke sebelas buah negara.

Pengumuman yang dikeluarkan oleh FIH itu ternyata memberi khabar baik buat Kesatuan Hoki Malaysia (KHM) yang menyambut baik perkhabaran dari FIH tersebut dan merasakan keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan implikasi Covid-19 kepada semua kerana proses kelayakan itu penting untuk menjamin tiket ke Piala Dunia.

Timbalan Presiden KHM, Prof Datuk Dr S. Shamala berkata keputusan itu bakal menyaksikan Kejohanan Piala Asia, yang dijangka berlangsung pada 2021, tidak hanya menjadi perlawanan bagi merebut piala itu tetapi ia turut menjadi medan bagi pasukan-pasukan di Asia merebut tempat lebih awal ke Piala Dunia.

“Pengumuman itu adalah sesuatu yang cukup baik kerana kami perlu mengambil kira sekiranya terdapat cabang lain yang dibuka oleh FIH untuk kelayakan, persiapan pasukan untuk berdepan dengan pelbagai pasukan adalah sesuatu yang perlu dititikberatkan,” ujar Shamala.

“Apabila penambahan slot diumumkan, kini kami boleh merangka persiapan dengan terperinci bagi menghadapi pasukan-pasukan dari Asia berbanding dengan kami tidak mengetahui pasukan mana yang perlu ditentang,” tambahnya.

Pengumuman dari FIH itu menyaksikan pasukan di benua Asia menerima tiga slot untuk Piala Dunia lelaki 2023, termasuk slot bagi tuan rumah India, manakala dua slot diperuntukkan bagi kategori wanita pada 2022, yang akan diadakan di Sepanyol dan Belanda.

Sebelum ini, hanya enam slot masing-masing bagi kategori lelaki dan wanita (lima juara benua dan satu tuan rumah) diberikan laluan automatik untuk beraksi di Piala Dunia, manakala baki slot perlu direbut menerusi Liga Hoki Dunia.

Baki lima slot untuk melengkapkan 16 pasukan yang akan beraksi di pentas Piala Dunia 2022/2023 akan ditentukan menerusi aksi kelayakan yang dijadualkan berlangsung pada Mac 2022.

Sebagai rekod, kali terakhir skuad hoki lelaki negara layak ke Piala Dunia adalah pada tahun 2018 di India. Namun, skuad negara tersingkir seawal pusingan kumpulan selepas tewas dalam dua perlawanan dan seri sekali, manakala skuad wanita tidak pernah beraksi di pentas tertinggi sejak Piala Dunia Wanita diperkenalkan pada 1974. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas