Berita

Pelantikan Gobi Krishnan dibatalkan

SHAHIDAN berkata keputusan pembatalan pelantikan tersebut adalah bagi meneruskan kesinambungan perkhidmatan yang terbaik di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
- Diterbit 10 Ogos 2022 9:27 AM MYT

MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim telah membatalkan pelantikan Gobi Krishnan A/L Saranggabani sebagai Ahli Lembaga Pelesenan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) berkuat kuasa 4 Ogos 2022 bagi meneruskan kesinambungan perkhidmatan yang terbaik di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Menurut Shahidan, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) telah membuat Carian Kebankrapan daripada Jabatan Insolvensi Malaysia pada 3 Ogos di mana keputusan yang diterima mengesahkan individu telah berstatus bankrap berkuat kuasa mulai 7 Januari 2021.

“Berdasarkan semakan undang-undang yang dibuat, didapati walaupun telah berstatus bankrap, pelantikan beliau bagi tempoh 20 Julai 2021 hingga 3 Ogos 2022 adalah teratur serta tidak melanggar mana-mana undang-undang dan peraturan,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Jelas beliau, Akta 176 tidak memperuntukkan bahawa seseorang yang bankrap tidak boleh dilantik menjadi Ahli Lembaga Pelesenan.

“Akta tersebut juga tidak memperuntukkan bahawa jawatan itu secara automatiknya menjadi kosong jika Ahli Lembaga Pelesenan berstatus bankrap,” tambahnya.

Terdahulu, Gobi Krishnan telah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pelesenan WPKL berkuat kuasa mulai 20 Julai 2021 hingga 19 Julai 2023. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas