Berita

Pelancaran Bulan Kebangsaan: Penguasaan Bahasa Mandarin jadi bonus buat pengacara

NAZIRAH Mohd Daud(kiri) dan Syed Muhammad Fauzi Syd Mostapa (kanan) akan menjadi pengecara dalam majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022. Kredit foto: BERNAMA
- Diterbit 29 Julai 2022 7:32 AM MYT

PENGUASAAN dalam Bahasa Mandarin menjadi ‘bonus’ buat Ros Nazirah Mohd Daud untuk mengemudi majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 di Dataran Putrajaya di sini, esok bersama gandingannya Syed Muhammad Fauzi Syd Mostapa.

Bekas wartawan penyiaran yang kini berkhidmat di sebuah agensi kerajaan itu berkata kemahiran tersebut akan dimanfaatkan bagi menterjemahkan konsep Keluarga Malaysia di hadapan kira-kira 10,000 pengunjung yang dijangka hadir.

“Saya diminta oleh penganjur untuk menyelit penggunaan Bahasa Mandarin, jadi saya akan cuba yang terbaik. Lagipun tiada masalah bagi saya kerana memang sentiasa bercakap dalam Bahasa Mandarin bersama adik-beradik kerana kami belajar di sekolah aliran Cina,” katanya kepada Bernama.

Ros Nazirah, 33, yang berkelulusan Ijazah Komunikasi dan Pengajian Media daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata pengalaman mengacarakan majlis Hari Kebangsaan pada 2020 menjadi panduan kepada beliau untuk bertutur dengan lancar serta berkesan pada majlis yang akan dihadiri tetamu kenamaan itu.

“Selain majlis besar sebegini, saya biasa mengacarakan majlis rasmi di kementerian sejak enam tahun lepas. Pengalaman ini mematangkan saya dalam dunia pengacaraan,” kata anak kelahiran Negeri Sembilan itu.

Syed Muhammad Fauzi, 36, pula menjadikan pengalaman sebagai wartawan penyiaran sebagai platform untuk tampil secara versatil dan berkeyakinan bercakap di hadapan khalayak ramai termasuk tetamu kenamaan.

Menurutnya ketika menerima tawaran mengacarakan majlis pelancaran itu, beliau tidak teragak-agak untuk menerimanya kerana peluang tersebut amat dinanti-nantikan bagi melengkapkan pencapaian beliau dalam dunia pengacaraan.

“Sasaran saya adalah mahu lengkapkan KPI (petunjuk prestasi utama) sendiri iaitu mengacarakan majlis yang dihadiri Perdana Menteri, Menteri Komunikasi dan Multimedia serta Yang di-Pertuan Agong. Tawaran yang saya terima ini sekali gus melengkapkan sasaran saya sebab ada semua barisan menteri Kabinet,” katanya.

Berkongsi tip pengacaraan, Syed Muhammad Fauzi berkata beliau sentiasa berpegang kepada prinsip kewartawan iaitu 5W1H (who, what, when, why, where, how) bagi memastikan tanggungjawab yang diberikan dapat disempurnakan sebaik mungkin.

“Benda pertama perlu buat sebelum tulis skrip adalah teliti atur cara majlis, selidik siapa tetamu yang akan datang… untuk memastikan bahasa yang akan digunakan adalah betul,” katanya.

Gandingan pengacara terbabit diberi tanggungjawab untuk mengendalikan majlis di dua pentas iaitu pentas pelepasan peserta Berjalan Teguh Bersama di Dataran Putra dan pentas utama di Dataran Putrajaya, di hadapan Istana Kehakiman. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas