Berita

Pelajar gembira kembali ke sekolah

para pelajar diberikan taklimat oleh tenaga pengajar SMK Mutiara sebelum memulakan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).
- Diterbit 22 Oktober 2021 2:39 AM MYT

TERPANCAR kegembiraan di wajah para pelajar di sini apabila kembali semula ke sekolah bagi mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bermula Isnin lalu.

Rata-rata pelajar yang ditemui Wilayahku, datang ke sekolah seawal jam 6.30 pagi dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti mengimbas suhu badan, menggunakan sanitizer dan menjaga penjarakan fizikal.

Bagi seorang pelajar SMK Mutiara, Aizul Hussin, 17, berkata tiada kata yang mampu diungkapkan kecuali perasaan gembira apabila kembali semula bersekolah secara bersemuka.

“Antara sebabnya, sepanjang tempoh Pengajaran dan Pembelajaran di rumah (PdPR) banyak halangan saya hadapi antaranya ketiadaan jaringan internet.

“Setelah lengkap dua dos vaksin, saya yakin bahawa keselamatan dan kesihatan saya terjamin.

“Selain itu dengan SOP yang dilaksanakan dengan begitu ketat di sekolah sudah tentunya memberikan jaminan kepada kami,” katanya ketika ditemui Wilayahku, ketika tinjauan media di beberapa buah sekolah di sini, yang dikelolai oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen).

Bagi Ajmal Rosyada Zainal, 16, menganggap pembukaan sekolah secara bersemuka itu satu berita gembira yang dinantikan oleh semua pelajar dan ini bukan satu alasan untuk mengabaikan SOP yang telah digariskan oleh kerajaan.

“Walaupun kita telah terima lengkap divaksinasi, kita rasa selamat namun kita juga boleh dijangkiti,” ujarnya.

Katanya lagi, dengan mematuhi SOP dapat mengelakkan diri daripada berlakunya jangkitan COVID-19 dan pada masa sama Pengajaran dan Pembelajaran secara bersemuka dapat diteruskan.

Sementara itu, secara majoriti ibu bapa yang ditemui amat berpuas hati terhadap SOP dan persediaan yang dilakukan oleh pihak KPM menerusi Jabatan Pendidikan Labuan yang komited melaksanakan SOP yang digariskan oleh KPM bagi memastikan sesi persekolahan secara bersemuka berjalan lancar.

Bapa kepada seorang murid di SMK Mutiara, Zainal Abdul Wahab, 45, pejawat awam berkata, sebagai ibu bapa semestinya mahukan keselamatan dan kesihatan anak-anak sentiasa terjamin.

“Dengan pelaksanaan SOP yang ketat oleh pihak sekolah, dengan menyediakan hand sanitizer dan pelbagai kemudahan lain maka dengan itu saya yakin bahawa sesi persekolahan secara bersemuka ini adalah selamat,” katanya.

Salabiah Biding,  48, menzahirkan perasaan berpuas hati terhadap SOP yang digariskan oleh KPM yang bertepatan dengan situasi pembukaan PdP semuka bagi menjamin keselamatan pelajar semasa berada di sekolah.

“SOP yang dilakukan oleh pihak sekolah amat memuaskan dan saya tidak merasa takut untuk menghantar anak saya ke sekolah kerana saya yakin dengan pelaksanaan yang disediakan oleh KPM amat teratur dan keselamatan anak saya terjamin,” katanya.

Terdahulu, Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin mengumumkan sesi persekolahan secara semuka bermula 3 Oktober lalu membabitkan pelajar tingkatan 5 dengan kapasiti kehadiran 50 peratus.

Pada Isnin (18 Oktober) merupakan fasa kedua sesi persekolahan bersemuka bagi murid sekolah rendah dan pelajar menengah yang melibatkan pelajar Tingkatan 1, 2 dan 3. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas