Berita

Perumahan untuk golongan asnaf di Labuan bakal diwujudkan – MAIWP

NIZAM (dua dari kiri) menyerahkan replika cek sumbangan perubatan bernilai RM 3,648 kepada penerima bantuan perubatan di Kampung Patau-Patau Dua, pada Isnin lalu.
- Diterbit 22 Oktober 2021 1:59 AM MYT

MAJLIS Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sedang merangka serta merancang bagi mewujudkan satu skim perumahan golongan asnaf di Labuan membabitkan jumlah peruntukan RM34 juta.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ustaz Mohd Nizam Yahya berkata, perancangan tersebut telah dibawa dan dibincangkan namun keputusan perancangan itu ditangguhkan untuk diperhalusi oleh unit Buhuth, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP).

Katanya, MAIWP turut akan mengadakan perbincangan dengan Perbadanan Labuan bagi mendapatkan tapak tanah bagi mewujudkan satu perumahan asnaf yang berkonsepkan ‘islamic city’.

“Kita telah bekerjasama dengan Perbadanan Labuan untuk membeli dahulu unit rumah yang telah siap dibina dan pada masa yang sama, perbincangan mengenai tapak tanah bagi mewujudkan projek perumahan asnaf.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa program penyampaian sumbangan bantuan perubatan kepada dua keluarga asnaf di Kampung Patau Patau Dua dan Kampung Layang- Layangan, di sini pada Isnin lalu.

Nizam berkata, bagi permulaan pihaknya bakal membeli sebanyak 100 hingga 150 unit rumah milik Perbadanan Labuan yang membabitkan perbelanjaan keseluruhannya sejumlah RM34 juta.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan kutipan zakat di tiga Wilayah Persekutuan mencatat sebanyak RM800 juta tahun lepas, meningkat 11 peratus berbanding tahun sebelumnya, meskipun berdepan pandemik COVID-19.

Jelasnya, berdasarkan statistik, pada tahun-tahun sebelumnya, peningkatan kutipan zakat adalah pada kadar empat hingga enam peratus, namun tahun lepas peningkatan kutipan begitu ketara.

“MAIWP akan menggunakan 80 peratus daripada jumlah RM1.1 bilion peruntukan sedia ada untuk pelbagai skim bantuan kepada golongan asnaf di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan pada 2022,” katanya lagi. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas