Berita

Orkestra Upin & Ipin pukau lebih 4,000 warga kota

WATAK animasi Upin & Ipin sangat popular di Malaysia dan Indonesia.
- Diterbit 8 Disember 2022 2:00 AM MYT

LEBIH 4,000 warga kota terutama kanak-kanak terhibur dengan Konsert Orkestra Upin & Ipin Keris Siamang Tunggal yang menampilkan karektor ‘dua kembar bersaudara’ itu di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana pada Sabtu.

Tirai persembahan dibuka dengan lagu Gembira Bermain diiringi Orkestra Kuala Lumpur (OKL) yang dianggotai seramai 62 orang pemuzik dan dipimpin oleh Norman Ong serta kumpulan koir daripada murid-murid Sekolah Kebangsaan Taman Megah, Petaling Jaya.

Konsert ini adalah dari runut muzik filem Upin & Ipin Keris Siamang Tunggal merupakan filem box office atau pecah panggung pada tahun 2019 dan telah memenangi beberapa anugerah antarabangsa serta disenarai pendek dalam Anugerah Oscar 2020.

KANAK-KANAK tidak melepaskan peluang untuk menari bersama-sama ketika Konsert Orkestra Upin & Ipin Keris Siamang Tunggal Ahad lalu.

Di konsert ini juga, maskot Upin & Ipin turut membuat penampilan istimewa dengan persembahan tarian serta silat bersama-sama Artis Budaya DBKL dan turut mendendangkan lagu yang sememangnya menjadi siulan kanak-kanak di Malaysia dan juga Indonesia seperti Keris Sakti, Buai Laju-Laju yang merupakan lagu tema Filem Upin & Ipin – Keris Siamang Tunggal, Goyang Upin & Ipin; dan Upin & Ipin Luar Biasa.

Hadir sama ke konsert tersebut Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah serta wakil kedutaan besar Indonesia.

Konsert anjuran bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Les Copaque Production Sdn Bhd bertujuan untuk memberikan hiburan berkualiti kepada kanakkanak serta seisi keluarga dan ia dilangsungkan dalam dua fasa.

Persembahan pertama bermula pada pukul 5 petang manakala persembahan kedua pada pukul 8 malam.

Yang jelas, karakter Upin dan Ipin ini memberikan kegembiraan kepada kanak-kanak yang menyaksikan konsert berkenaan, malah mereka turut menyanyikan lagu serta menari bersama-sama sekali gus mewarnai konsert tersebut.

Pujian juga harus diberikan kepada pemuzik Orkestra Kuala Lumpur yang berjaya mempamerkan persembahan bertenaga, berkualiti setanding orkestra antarabangsa yang lain. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas