Berita

Nombor pusat khidmat pelanggan KTMB ditukar mulai April

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 21 Mac 2024 10:20 AM MYT

NOMBOR talian Pusat Khidmat Pelanggan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan ditukar berkuat kuasa pada 1 April depan.

Menurut kenyataan KTMB nombor baharu itu ialah 03-9779 1200 manakala nombor sekarang iaitu 03-2267 1200 boleh digunakan hingga 31 Mac, namun waktu operasi dikekalkan dari 7 pagi hingga 10 malam setiap hari.

“Pertukaran ini sebahagian inisiatif digitalisasi KTMB dengan memperkenalkan platform baharu khidmat pelanggan iaitu penggunaan chatbot  dikenali sebagai KASEH,” menurut kenyataan itu.

Penggunaan KASEH bertepatan pada masa kini memandangkan jenis panggilan yang kerap diterima adalah berbentuk pertanyaan seperti jadual waktu tren, kaedah pembelian tiket, produk, terma dan syarat perkhidmatan serta promosi.

Selain itu, KASEH juga dilihat dapat meningkatkan fokus petugas di Pusat Khidmat Pelanggan yang lebih berbentuk aduan atau kecemasan.

“Orang ramai digalakkan untuk menggunakan KASEH bagi sebarang pertanyaan perkhidmatan menerusi laman sesawang www.ktmb.com.my atau di Facebook Messenger KTMB,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas