Berita

Muhd Zamry monopoli saham Richiamo Coffee

|
- Diterbit 8 Februari 2021 4:27 AM MYT

MUHD Zamry Abu Samah diumumkan sebagai pemegang saham terbesar syarikat kopi premium, Richiamo Coffee Sdn Bhd di seluruh negara hari ini, selepas dua pemegang saham bersama melepaskan pegangan mereka.

Richiamo Coffee dalam kenyataannya berkata, Muhd Zamry muncul pemegang saham terbesar di dalam syarikat itu selepas Raja Ramilah Begum Raja Mohammad atau Raja Ilya dan Zulkiflee Yusof telah secara bersama melepaskan pegangan mereka di dalam syarikat tersebut.

Ujarnya, perletakan jawatan dua pemegang saham menjadikan Mohd Zamry yang ketika ini menjawat jawatan sebagai Pengarah Urusan Kumpulan memiliki kira-kira 80 peratus saham di dalam syarikat berkenaan.

“Raja Ilya dan Zulkifli secara sukarela melepaskan pegangan masing-masing iaitu 20 peratus setiap seorang dan berikutan itu, Muhd Zamry menawarkan untuk membeli saham-saham tersebut dari mereka berdua.

“Tiada sebarang perubahan di dalam struktur pentadbiran syarikat walaupun kedua-dua pemegang saham itu melepaskan pegangan masing-masing dan operasi berjalan seperti biasa serta tidak menganggu sebarang urusan dengan pelbagai pihak sama ada pelanggan, pembekal mahupun syarikat kewangan,” kata Richiamo Coffee hari ini.

Richiamio Coffee mengucapkan terima kasih kepada Raja Ilya dan Zulkiflee di atas sumbangan mereka selama lima tahun kebelakangan ini bagi membangunkan jenama kopi premium sehingga ke tahap sekarang sehingga menjadi sebutan serta dikenali ramai.

Bagaimanapun menurutnya, nilai pembelian semula saham kedua-dua mereka itu tidak didedahkan dan peletakan jawatan tersebut berkuatkuasa mulai 31 Januari lalu.

Richiamo Coffee merupakan jenama rangkaian kedai kopi premium yang ditubuhkan pada 2015 dan kini telah mempunyai 30 cawangan di seluruh negara serta bakal membuka tujuh lagi cawangan sehingga akhir Februari nanti.

Muhd Zamry sebelum ini merupakan pemain di dalam industri permotoran dan memilik pengalaman lebih 30 tahun di dalam industri tersebut.

Dengan pengalaman di dalam pemasaran dan jualan beliau melihat industri makanan dan minuman yang diterokai sejak 2015 memiliki prospek yang cerah untuk berkembang di dalam dan luar negara. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas