Berita

AS teruskan sekatan selagi Iran tidak hentikan pengayaan uranium

- Diterbit 8 Februari 2021 4:32 AM MYT

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Joe Biden pada Ahad menolak kemungkinan menarik balik sekatan terhadap Iran sehingga negara itu menghentikan aktiviti pengayaan uranium, lapor Agensi Anadolu.

Dalam temu bual pertama di rangkaian berita sejak memegang jawatan bulan lalu, Biden berkata pentadbirannya tidak akan melonggarkan sekatan untuk membawa Tehran kembali ke meja rundingan setelah bekas Presiden Donald Trump menarik diri dari perjanjian nuklear 2015 dan mengenakan semula sekatan.

Dalam komennya pada CBS Evening News, Biden berkata kebuntuan akan berlajutan apabila Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei menuntut Washington terlebih dahulu menamatkan sekatan sebelum negaranya mematuhi perjanjian had pengayaan uranium.

Pentadbiran Trump mengenakan semula sekatan ekonomi terhadap Iran dan menarik diri dari Pelan Tindakan Komprehensif Bersama 2015 (JCPOA), juga dikenali perjanjian nuklear Iran, yang disepakati lima anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) termasuk Jerman dengan Iran.

Kesepakatan itu menyaksikan Tehran menerima had dan membenarkan pemeriksaan terhadap program nuklearnya dengan pertukaran penamatan sekatan bernilai berbilion dolar. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas