Berita

Mudahkan pergerakan warga emas, YWP sumbang tongkat kaki

MAK CIK Alijah (duduk) menerima tongkat kaki empat jenis Aluminium Walker EL6001 oleh Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) di rumahnya baru-baru ini.
- Diterbit 20 November 2022 3:00 AM MYT

IMPIAN wanita warga emas, Alijah Maarof, 74, untuk memiliki alat sokongan berjalan akhirnya tercapai apabila Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dengan kerjasama kepimpinan di Parlimen Lembah Pantai tampil menghulurkan bantuan tersebut di rumahnya, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Datuk Zaizalnizam Zainun menjelaskan YWP telah menyumbangkan satu unit tongkat kaki empat
jenis Aluminium Walker EL 6001 kepada Alijah bagi memudahkan pergerakannya.

“YWP mendapat maklumat yang menyatakan Mak Cik Alijah menghidap penyakit sakit urat saraf selepas pembedahan lutut pada tahun lepas dan hanya menggunakan kerusi roda untuk bergerak ke mana-mana.

“Malah, difahamkan dia juga tidak mendapat sebarang bantuan daripada mana-mana pihak setakat ini. Justeru itu, kami mengambil
peluang membantu serta mengharapkan pergerakannya selepas ini lebih mudah.

“Alhamdulillah, secara tidak langsung, bantuan ini dapat merealisasikan hasrat Mak Cik Alijah yang selama ini menginginkan alat bantuan sokongan untuk berjalan,” kata beliau ketika ditemui Wilayahku.

Dalam pada itu, YWP juga turut berbesar hati menghulurkan sumbangan berupa wang tunai secara one-off sebagai belanja tambahan untuk menampung perbelanjaan harian Alijah dan keluarganya.

“Saya difahamkan Mak Cik Alijah kini tinggal bersama anaknya yang sudah bekeluarga namun anaknya itu tidak mempunyai pendapatan yang tetap. Walaupun nilainya tidaklah besar namun diharapkan ia dapat mencukupkan wang bagi membiayai kos perubatan.

“Kita di YWP sentiasa prihatin terhadap warga Wilayah Persekutuan yang berada dalam kesusahan,” ujar beliau menjelaskan fungsi YWP bertujuan untuk menjaga kebajikan, sosial dan ekonomi warga wilayah.

Sementara itu, Alijah Maarof ketika dihubungi Wilayahku menjelaskan dia berada dalam keadaan sihat dan turut mengucapkan terima
kasih atas keprihatinan dan kesudian pihak YWP membantunya.

Terdahulu, sumbangan itu telah disampaikan oleh Pegawai TugasTugas Khas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Ramlan Askolani bersama kakitangan YWP yang mewakili Datuk Zaizalnizam Zainun. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas