Berita

MOTAC sasar 27.3 juta ketibaan pelancong tahun ini

- Diterbit 11 Mac 2024 12:55 PM MYT

KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mensasarkan sejumlah 27.3 juta ketibaan pelancong dengan pendapatan pelancongan berjumlah RM102.7 billion pada tahun ini.

Timbalan Menterinya, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata bagi tahun 2023 jumlah ketibaan pelancong yang direkodkan berjumlah 20.1 juta dengan pendapatan pelancongan berjumlah RM71.3 billion.

“Sementara itu, seramai 31.4 juta pelancong dengan pendapatan pelancongan berjumlah RM125.5 billion disasar pada tahun hadapan.

“Bagi Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 pula, MOTAC sasar kehadiran pelancong seramai 35.6 juta pelancong dengan pendapatan pelancongan berjumlah RM147.1 billion,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Madius Tangau (PH-Tuaran) mengenai sasaran sasaran pulangan pelancongan kepada ekonomi negara dan langkah-langkah menarik lebih banyak pelancong asing untuk melawat Malaysia.

Menurut Khairul Firdaus, pelbagai program dan langkah-langkah telah diatur bagi menarik lebih ramai pelancong asing melawat negara.

Jelasnya, bagi mejayakan kempen TMM 2026, MOTAC memerlukan sokongan padu kerajaan negeri, penggiat industri pelancongan negara serta sokongan rakyat dalam membuat persiapan rapi menerima kedatangan lebih ramai pelancong asing ke Malaysia.

“MOTAC melalui agensi seliaannya Tourism Malaysia akan meneruskan penyertaan aktif dalam pameran-pameran pelancongan antarabangsa seperti International Tourisme Bourse (ITB) Berlin, World Travel Market (WTM) London, Arabian Travel Mart (ATM) Dubai, ASEAN Tourism Forum (ATF) dan banyak lagi merangkumi pasaran-pasaran utama seluruh dunia bagi memastikan penjenamaan ‘Malaysia Truly Asia’ akan kekal menjadi pilihan pelancong-pelancong seluruh dunia.

“Selain itu, kerjasama dengan kerajaan negeri melalui Pejabat Pelancongan Negeri-negeri dengan menyokong usaha penganjuran kempen Tahun Melawat Negeri yang telah dirancang; serta meningkatkan kerjasama dengan syarikat-syarikat penerbangan dalam meluaskan rangkaian penerbangan terus dari pasaran-pasaran utama ke Malaysia.

“Kemudian, penganjuran program lawatan familiarisasi bersama media dan agensi pelancongan bagi memberi pengalaman dan pendedahan terhadap produk & destinasi pelancongan yang baharu,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas