CKB

Antara kopitiam dan kopi hipster

- Diterbit 19 Februari 2024 9:00 AM MYT

Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN

KEDAI kopi hipster dianjak daripada kopitiam menjadi premis sosial dan ruang gaya hidup golongan muda.

ADA yang bertanya, apakah dengan meledaknya fenomena kedai kopi hipster yang menjadi salah satu daripada gaya hidup golongan muda, kedai kopi Cina atau kopitiam akan menuju kepupusan?

Memang benar, kedai kopi moden termasuk jenama antarabangsa tumbuh pantas sejak kurang 10 tahun dulu. Lokasinya tertumpu di pusat beli-belah dan premis yang agak mewah. Berbeza dengan kopitiam yang kekal di rumah kedai lama, klasik dan agak tersorok.

Pertanyaan tentang kemungkinan kopitiam terjejas dengan adanya kedai kopi moden adalah suatu yang tidak mudah untuk dijawab. Suatu hakikat yang penting adalah kopitiam telah teruji oleh zaman. Tradisi minum kopi dan kopitiam ada sejarah dan tradisi yang panjang.

Pada masa yang sama tradisi yang berkaitan kopi telah memainkan peranan secara tanpa sedar dalam asimilasi budaya rentas benua yang sekali gus berperanan sebagai jambatan sosial dalam kalangan pelbagai kaum.

Lalu, tulisan yang ringkas ini bukanlah untu­k menjawab pertanyaan tentang kopitiam dan kedai kopi moden. Sebaliknya pertanyaan itu sendiri membenihkan hal-hal yang menarik untuk diselusuri mengenai budaya dan tradisi kopi. Misalannya istilah kopitiam itu sendiri membawa definisi kedai kopi Cina di negara ini.

Walaupun diusahakan oleh masyarakat Cina, tetapi menjadi tumpuan pelbagai kaum termasuk Melayu. Kopitiam bukan sahaja wujud di bandar besar terutama yang mempunyai populasi orang Cina yang banyak seperti Kuala Lumpur. Malah sudah lama tumbuh di pekan-pekan kecil di mana populasi Melayu yang tinggi.

Orang Melayu tidak ada sebarang keraguan untuk minum atau bersarapan roti bakar dan telur separuh masak di kopitiam, walaupun orang Melayu tidak makan di restoran Cina.

Pertumbuhan kedai kopi moden sekarang ini adalah suatu perkembangan yang menarik, khususnya daripada sudut penglibatan golongan muda. Kedai kopi itu dianjak daripada kopitiam dan menjadi premis sosial dan ruang gaya hidup golongan muda.

Kedai kopi yang diberi sentuhan reka bentuk moden dan letaknya pula di premis ternama sudah teranjak jauh daripada kopitiam. Sekalipun begitu tradisi kopitiam tidak terganggu atau terkesan dengan kewujudan kedai kopi yang moden.

Kedua-duanya mempunyai khalayak yang berbeza. Kopitiam terus menjadi tumpuan pengunjungnya – golongan yang berusia. Sementara kedai kopi moden dan berjenama terus sebagai lambang gaya hidup. Daripada sudut harga juga berbeza – kopitiam lebih murah berbanding kedai kopi moden.

Tradisi kopitiam bermula dengan migrasi orang Hainan dari kepulauan Hainan di selatan China ke Asia Tenggara pada abad ke-19. Mereka merupakan kumpulan dialek Cina yang agak lewat sampai ke Asia Tenggara berbanding dialek lain Hokkien, Kantonis dan Teochew.

Ketiga-tiga kumpulan dialek itu tiba lebih awal dan telah terlibat lama dalam bidang pertanian dan perdagangan. Kedudukan ekonomi mereka telah kukuh berbanding Hainan.

Orang Hainan terpaksa mencari pekerjaan lain terutama selepas Perang Dunia Kedua yang menjadikan keadaan ekonomi terus meleset. Hal itu menjadikan peluang bekerja di hotel atau dengan keluarga British juga sangat berkurangan.

Ketika itulah orang Hainan mengusahakan kopitiam yang menggabungkan dua bahasa, kopi (bahasa Melayu) dengan tiam bermaksud kedai dalam dialek Hokkien. Sebab itulah di Malaysia kopitiam adalah kedai kopi Cina dan diterima oleh orang Melayu.

Kopitiam ada tradisinya dan sebab itu kebanyakannya diusahakan oleh keluarga Hainan dan diwarisi daripada generasi kepada generasi. Menu tradisi adalah telur separuh masak, roti bakar mentega dan kaya. Minuman popular adalah kopi dan teh.

Abad ke-19

Tradisi minum kopi di negara ini pula dibawa oleh pedagang Arab dan India yang datang berdagang pada awal abad ke-19 di kepulauan Melayu di Nusantara, termasuk negara ini. Kemudiannya kopi ditanam di negara ini kerana kebetulan di beberapa tempat mempunyai tanah yang subur sesuai untuk tanaman kopi.

Statistik pada 2021 menunjukkan negeri Johor muncul sebagai peneraju pengeluaran kopi tempatan apabila menghasilkan hampir 3,000 tan kopi berbanding Sabah hanya 884 tan. Orang Arab dan India perkenalkan kopi dan ditanam di sini, orang Hainan pula bawa tradisi kedai kopi.

Pada tahun 2019, Malaysia mengimport 136,250 tan metrik biji kopi dan mengeksport 133,782 tan metrik produk kopi. Hal itu menjadi pemangkin gaya hidup minum kopi dan tradisi kopitiam yang sudah menyerap dalam kehidupan masyarakat pelbagai kaum dan kukuh dalam merentasi garis budaya.

Sebenarnya tradisi kopitiam yang unik itu perlu dikekalkan dan setakat ini sudah terbukti kukuh sekalipun merentasi garis zaman yang panjang. Malah kini sudah wujud banyak kopitiam yang dikekalkan tradisinya tetapi diusahakan secara yang berskala besar.

Ada pihak menganggap kedai kopi hipster itu hanya fenomena semasa dan tidak boleh bertahan lama seperti kopitiam yang panjang tradisi dan dianggap klasik.

Kemungkinan itu ada, tetapi yang penting bidang berkaitan kopi perlu dipelbagaikan – salah satunya dengan meraikan kewujudan kedai kopi moden.

Fenomena kopi hipster itu bukan sahaja di bandar besar seperti Kuala Lumpur malah sudah sampai ke kampung-kampung. Di tepi jalan di kampung sudah berdiri banyak warung kopi yang khusus bukannya gerai seperti kebiasaannya. Pengunjungnya adalah orang muda yang membina gaya hidup bersama kopi.

Statistik oleh National Coffee Association menunjukkan golongan berusia 18 hingga 24 tahun meningkat daripada 34 menjadi 48 peratus pada 2016 berbanding lapan tahun sebelum itu. Golongan berusia 25 hingga 39 tahun peningkatan dari 51 pada 60 peratus.

Kajian lain pula menunjukkan kadar minum kopi di negara ini mencatat kenaikan mendadak. Misalnya pada tahun 2021 mencatat purata seorang penduduk negara ini minum 107 cawan kopi berbanding 52 cawan empat tahun sebelum itu. Meningkat sekali ganda dalam masa empat tahun.

Statistik itu tentunya suatu yang positif dan disumbangkan oleh gelembung kedai kopi hipster. Masa yang sama kopitiam pula terus lestari dengan tradisi dan penggemar yang setia. Terus kekal klasik dan ada nilai sentimental.

Orang muda pula banyak memaparkan keberadaan mereka di kedai kopi hipster yang mewah di media sosial. Sementara yang lebih berusia terus ke kopitiam tanpa menghebahkan kepada sesiapa.

Itulah bezanya antara orang muda dan tua dalam menzahirkan ekspresi tentang kopi. Satu golongan menjadikan kopi sebaga­i lambang gaya hidup dan satu lagi meletakkan kopi sebagai pelengkap kehidupan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas