Berita

MCA Gesa kerajaan Pulau Pinang buat penilaian

- Diterbit 30 April 2021 9:26 AM MYT

MCA Pulau Pinang menggesa kerajaan negeri membuat penilaian risiko terhadap pokok yang dipindahkan di seluruh negeri berikutan kejadian pokok tumbang sehingga membawa maut di Jalan Perak pada 27 April.

Setiausaha Jawatankuasa Perhubungan MCA Pulau Pinang Yeoh Chin Kah berkata sebanyak 184 pokok telah dipindahkan antara 2018 dan 2020.

Beliau memetik kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, yang menyatakan bahawa sekurang-kurangnya 80 peratus pokok yang dipindahkan dianggap berjaya.

“Ini bermakna 20 peratus atau kira-kira 36 pokok yang dipindahkan boleh menimbulkan ancaman serius kepada orang ramai.

“Saya berharap kerajaan negeri dapat membentuk satu pasukan petugas khas bebas untuk menyiasat dan mengenal pasti pokok yang dipindahkan yang berpotensi menimbulkan bahaya kepada orang ramai,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada kerajaan negeri di Komtar di sini hari ini.

Beliau mencadangkan agar penanaman spesies pokok yang tumbuh dengan cepat dapat menjadi alternatif lebih baik untuk penanaman pokok bagi mencegah kejadian yang tidak diingini.

Selasa lepas, seorang mekanik mati apabila sebatang pokok tumbang di atas Proton Wira yang dipandunya di Jalan Perak kira-kira 9.30 pagi selepas hujan lebat.

Dilaporkan bahawa pokok berusia puluhan tahun itu dipindahkan ke sana semasa kerja-kerja pelebaran Jalan Perak pada 2018. – BERNAMA

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas