Berita

Masjid, surau JAWI perlu kreatif anjur aktiviti pada Ramadan – Mohd Na’im

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 20 Februari 2024 6:15 PM MYT

PENGERUSI dan ahli jawatankuasa masjid serta surau di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) disaran supaya lebih kreatif menganjurkan aktiviti sepanjang Ramadan bagi menarik kehadiran orang ramai khususnya golongan muda.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata usaha itu bagi memastikan masjid dan surau di sekitar Wilayah Persekutuan dapat terus diimarahkan.

“Dalam konteks untuk mengimarahkan masyarakat dengan program kerohanian, menjadi tanggungjawab agensi hal ehwal Islam untuk mencari kaedah memperhebat program-program penghayatan khususnya dalam bulan Ramadan nanti.

“Pengerusi dan ahli jawatankuasa masjid serta surau kena fikirkan aktiviti-aktiviti dalam bulan Ramadan selain daripada iftar dan sahur yang biasa dianjurkan untuk kita mengajak lebih ramai datang ke masjid dan surau,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Seminar Ambang Ramadan Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 1445 Hijri serta Pelancaran Blue Print UNITY dan aplikasi DAWANITY, di sini hari ini.

Mohd Na’im berkata bagi menggalakkan penganjuran program menarik diadakan di masjid dan surau, JAWI akan mengumumkan insentif yang berkaitan pada 5 Mac ini.

“Insenstif yang akan kita umumkan itu adalah sebahagian daripada usaha JAWI untuk memberikan dorongan dan motivasi kepada pengerusi dan ahli jawatankuasa masjid serta surau dalam mempelbagaikan program mereka,” katanya.

Menurut Mohd Na’im program yang dianjurkan itu pada masa sama perlu memberi kesan positif kepada pembentukan masyarakat MADANI.

“Kita tidak boleh sekadar menganjurkan program semata-mata tanpa meletakkan objektif program. Penilaian perlu dibuat agar setiap program yang dilaksanakan benar-benar mencapai objektif seperti yang dihasratkan,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas