Berita

Malaysia, UAE bakal meterai CEPA Jun ini

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 28 Februari 2024 2:30 PM MYT

MENTERI Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz telah mengesahkan kekuatan hubungan ekonomi antara Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Malaysia dengan menyatakan bahawa kedua-dua negara hampir memuktamadkan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif (CEPA) mereka.

Tengku Zafrul berkata perjanjian itu akan ditandatangani menjelang akhir Jun tahun ini, lapor Agensi Berita Emirates (WAM) pada Selasa.

Beliau berkata demikian di luar Persidangan Peringkat Menteri ke-13 (MC13) Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) di sini.

Menteri Malaysia itu merujuk kepada tiga lawatannya ke UAE dalam tempoh tiga bulan, menekankan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh kedua-dua negara dalam tempoh lalu untuk memajukan hubungan dua hala mereka dalam semua bidang.

Dalam hal ini, beliau berkata satu MoU telah ditandatangani pada Januari untuk mewujudkan rangka kerja bagi kerjasama pelaburan dalam sektor infrastruktur digital.

Ini selaras dengan MoU lain yang ditandatangani oleh beberapa syarikat Malaysia dengan Masdar, sebuah syarikat tenaga boleh diperbaharui semasa COP28 di Dubai pada Disember.

Mengenai MC13, beliau berkata: “Acara global yang penting ini berfungsi sebagai platform penting untuk komunikasi, terutamanya di tengah-tengah cabaran yang dihadapi oleh perdagangan antarabangsa.” – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas