Personaliti

Lupakan kerjaya sebagai doktor demi kepuasan

- Diterbit 13 Mac 2020 4:35 AM MYT

SUNGGUHPUN memiliki kelulusan Sarjana Muda Perubatan, wanita jelita yang dikenali sebagai Engku Sulwani Engku Ismail atau mesra disapa Esul memilih bidang peragaan sebagai kerjaya utamanya.

Siswazah kedoktoran Universiti Putra Malaysia (UPM) ini mengakui kecintaan yang mendalam terhadap dunia peragaan menyebabkannya melepaskan cita-cita untuk bergelar doktor yang pernah diidamkan suatu ketika dahulu.

Tidak pernah berasa menyesal dengan keputusannya itu, bekas pelajar pintar yang memperoleh straight A’s bagi kesemua ujian besar seperti UPSR, PMR dan SPM, serta skor 4.0 ketika belajar itu, kini bukanlah nama asing dalam dunia peragaan.

Berasal dari Kota Bharu, Kelantan personaliti media sosial popular ini sering menghiasi jenama busana muslimah serta produk kecantikan di dalam mahupun luar negara. Figuranya yang hebat menjadikannya idola kepada ramai wanita.

Biarpun tidak bergelar doktor, dia masih berusaha membantu wanita terutamanya untuk tampil berkeyakinan dan seterusnya hebat di mata masyarakat.

“Saya tubuhkan agensi Engku Sulwani Management (ESM) untuk membantu wanita seperti peragawati hijab dan usahawan di Malaysia. Setakat ini, saya sudah pun mempunyai tujuh kumpulan pelajar yang ingin belajar rahsia menjadi cantik.

“Pelajar saya tidak semestinya perlu berbadan tinggi, kurus, muda dan cantik. Ada juga dalam kalangan mereka yang berumur 40 tahun. Niat saya ingin membantu meningkatkan keyakinan diri agar mereka lebih yakin dan berpenampilan bergaya,” ujarnya.

Tambahnya, dia juga dalam peringkat mengukuhkan agensi peragaan untuk wanita bertudung. Malah terdapat beberapa pelanggannya yang berbangsa Cina dan India yang turut menggunakan khidmat agensinya apabila memerlukan model berhijab.

“Sejujurnya bagi saya ini adalah pencapaian untuk memartabatkan wanita berhijab ke industri fesyen yang berlainan bangsa. Bila seseorang wanita itu berani bergaya mengikut personaliti masing-masing, pasti membuatkan semua menoleh,” ujar wanita berusia 28 tahun ini.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas