Biz

Al Ansar sasar bina 60 banglo

MOHAMMAD SAHAR (dua dari kiri) meneliti model banglo yang dibangunkan Al-Ansar. Turut kelihatan Muhamad Khanafi (kanan).
- Diterbit 7 Mac 2020 7:43 AM MYT

PUTRAJAYA – Al Ansar IBS PLT, syarikat pemaju perumahan yang lebih 20 tahun berpengalaman menggunakan kaedah inovasi Sistem Binaan Berindustri (IBS) menyasarkan pembinaan 60 unit banglo pelbagai reka bentuk di seluruh negara menjelang akhir tahun ini dengan nilai jualan RM10 juta.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Muhamad Khanafi Husin berkata, peluang memiliki kediaman tersebut ditawarkan kepada orang ramai terutama bakal pesara untuk memilih membina kediaman di atas tanah sendiri dengan kos sebanyak RM100,000 hingga RM150,000 se­tiap unit dan ke atas.

“Sasaran lebih kepada orang ramai yang akan pencen atau melebihi usia 50 tahun. Golongan veteran kebiasaannya mempunyai simpanan dan tanah di kampung, khususnya tanah rizab Melayu.

“Pembinaan banglo ini akan menggunakan kaedah IBS melibatkan ke­luasan sehingga 1,200 kaki persegi,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Kempen Bina Banglo IBS 2020 di sini baru-baru ini.

Majlis itu dirasmikan Presiden Dewan Perniagaan Islam Malaysia (DPIM), Mohammad Sahar Mat Din. Turut hadir Timbalan Pengerusi DneX, Datuk Samsul Husin dan usahawan-usahawan DPIM.

Menurut Muhamad Khanafi, syarikatnya optimis untuk men­capai sasaran berdasarkan rekod pembinaan pada Januari dan Februari lalu menyaksikan sebanyak lima unit banglo telah siap dibina.

“Sebanyak 20 unit lagi sedang dalam pembinaan di Johor, Kedah, Perak dan Selangor. Daripada 60 unit yang disasarkan, 30 unit akan diberi rekaan baharu yang dinamakan Mawar, Alamanda dan Rafflesia (semi D). Bagaimanapun, rekaan yang sedia ada dikekalkan kerana masih mendapat sambutan,” ujarnya.

Katanya, rekaan baharu yang diperkenalkan itu memberi keutamaan dalam konsep ubah suai di bahagian dinding rumah sebagai per­sediaan menambah ruang pada masa depan.

Al Ansar menggunakan ka­edah IBS seperti interlocking bricks, ino­vasi bumbung teknologi nano dan gentian fiber hibrid kerana ia bukan sahaja menjimatkan malah bahannya mudah dibawa ke tapak pembinaan sekali gus dapat menyiapkan projek berkenaan dalam masa singkat.

Muhamad Khanafi berkata, Al Ansar akan meneruskan tradisi pemberian lampu, kipas dan table top secara percuma kepada setiap unit mengikut rekaan yang dipilih.

“Syarikat juga akan menambah baucar bernilai RM1,000 kepada lima pelanggan terawal membuat tempahan membina banglo untuk membina kabinet dapur,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas