Berita

Larangan kapal Israel berlabuh di Malaysia tindakan wajar

SYARIKAT perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM
- Diterbit 29 Disember 2023 9:10 AM MYT

KEPUTUSAN Kerajaan Malaysia melarang kapal perdagangan Israel berlabuh ke perairan negara adalah satu tindakan keras yang berani dalam usaha memberi tekanan kepada rejim itu menghentikan jenayah kemanusiaan terhadap Palestin.

Langkah yang dibuat itu juga memberi isyarat jelas bahawa kerajaan terus memperjuangkan hak asasi kemanusiaan yang sudah tercalar di bumi Palestin.

Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata jelas ternyata negara kita tidak memberi kompromi dalam isu penindasan serta kezaliman yang berlaku terhadap Gaza.

NIRWANDY

“Larangan tersebut adalah dilihat bagi memberitahu Kerajaan Malaysia menentang sekeras-kerasnya kekejaman Israel.

“Malah negara kita memperjuangkan bagi rakyat Gaza mengecapi keamanan serta hak kemanusiaan yang dilihat ditindas dengan angka pengorbanan yang meningkat,” katanya.

Tambah Noor Nirwandy, larangan yang dilakukan kerajaan sepatutnya dihormati oleh negara-negara lain berikutan ia merupakan dasar polisi sesebuah negara berdaulat.

“Langkah tersebut juga dilihat penting bagi mendokong pendirian negara kita dalam usaha menyokong kedaulatan negara Palestin. Pada masa sama, menunjukkan bahawa Israel juga tidak kebal daripada melakukan sesuatu perkara mengikut kehendak mereka,” ujarnya.

Selain itu, jelas Noor Nirwandy, langkah tersebut tidak akan menjejaskan hubungan perdagangan negara.

“Ia mungkin ada risiko-risiko tersendiri namun, pada masa sama, ia tidak memberi kesan yang mendalam terhadap hubungan perdagangan dengan negara-negara lain,” katanya.

Baru-baru ini media melaporkan, kerajaan memutuskan untuk menyekat dan tidak membenarkan syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kementerian Pengangkutan akan mengambil tindakan segera dengan mengenakan larangan kekal terhadap syarikat tersebut berkuat kuasa serta-merta.

Tambah beliau, sekatan ini adalah tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengetepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi pembantaian dan kekejaman berterusan terhadap warga Palestin. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas