Berita

PNM: Program Riang Ria cuti sekolah pupuk minat membaca kanak-kanak

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 29 Disember 2023 9:00 AM MYT

PROGRAM Riang Ria Cuti Sekolah 2023 yang menyajikan pelbagai aktiviti menarik bagi mengisi masa terluang kanak-kanak sepanjang musim cuti persekolahan mendapat sambutan yang menggalakkan.

Program anjuran Perpustakaan Negara (PNM) bertujuan untuk menyemai minat membaca dalam kalangan kanak-kanak, juga menjadi platform bagi mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan antara anak dan ibu bapa pada cuti sekolah selama dua minggu kali ini.

Timbalan Pengarah Bahagian Pinjaman PNM Hasnida Jakeria berkata program berkenaan yang dilaksanakan di Perpustakaan Kanak-Kanak PNM di Jalan Tun Razak di sini menyediakan pelbagai aktiviti seperti membuat kraftangan, mewarna dan bercerita yang diadakan pada Selasa, Rabu dan Khamis sepanjang tempoh cuti persekolahan.

Selain itu, Riang Ria Cuti Sekolah juga turut memberi peluang untuk kanak-kanak meneroka potensi diri dalam aktiviti Seni 3D, Seni Butang, Dekorasi Pinggan Kertas dan Beg Kreatif.

“Kita buka untuk penyertaan aktiviti ini sebanyak 35 hingga 40 peserta dan Alhamdulilah, setiap sesi yang kami laksanakan, kehadiran memang penuh,” katanya kepada Bernama di sini.

Hasnida berkata program berkenaan telah disertai seramai 180 kanak-kanak setakat ini bagi tahun ini.

Sementara itu, suri rumah, Haliza Abdul Halim, 61, ketika ditemui berkata beliau amat berpuas hati dengan aktiviti yang disediakan PNM terutamanya kraftangan menghias butang

“Ketika aktiviti itu diadakan, memang anak-anak ini nampak sangat teruja. Selepas itu mereka (PNM) juga turut menyediakan permainan dan yang lebih menarik minat anak-anak ini adalah apabila mereka dapat  beg cenderamata,” katanya yang hadir bersama tiga cucunya dan turut mengambil peluang mendaftar sebagai ahli PNM.

Sambil memuji keberkesanan aktiviti disediakan PNM, Haliza  berkata program itu bukan sahaja dapat menambah minat kanak-kanak dalam membaca selain mendapat kenalan baharu, malah ia juga dapat membina ukhuwah dalam kalangan ibu bapa.

Pereka grafik Izmi Haarith Mohamad Danari, 41, yang turut sependapat dengan Haliza mengenai program berkenaan berkata ia perlu diteruskan kerana berjaya memenuhi aktiviti anak-anaknya selain dapat memupuk budaya membaca dalam kalangan generasi muda.

“Sepanjang cuti sekolah, ini merupakan hari ketiga saya datang ke sini dan kalau dekat rumah pun mereka tengok telefon bimbit sahaja. Jadi saya bawa mereka datang ke sini supaya mereka boleh teroka   bahan-bahan bacaan,” katanya.

Bapa kepada dua orang anak itu berkata pendedahan kepada pelbagai genre buku yang disediakan di perpustakaan juga telah memberi impak positif kepada anak-anaknya sekali gus dalam memupuk tabiat minat membaca. – BERNAMA 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas