Berita

Laporan “Orang Kaya’ sewa PPR” dipetik luar konteks – KWP

KERATAN akhbar berkenaan artikel "'Orang Kaya' Sewa PPR". KERATAN akhbar Utusan berkenaan "'Orang Kaya' Sewa PPR".
- Diterbit 15 Disember 2021 11:00 AM MYT

LAPORAN berita sebuah akhbar tempatan bertajuk bertajuk “Orang Kaya’ Sewa PPR” yang disiarkan semalam dipetik luar konteks.

Bahagian Komunikasi Korporat, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) berkata, penggunaan tajuk dan laporan berita tersebut memberi gambaran bahawa Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim seolah-olah menyatakan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Wilayah Persekutuan disewa oleh ‘Orang Kaya’ dan unit dirampas daripada pemiliknya yang kebanyakannya ‘Orang Kaya’.

“Ingin dijelaskan bahawa Menteri Wilayah Persekutuan dan KWP tidak mengeluarkan kenyataan tersebut. Tiada sesi temu bual secara bersemuka antara Menteri Wilayah Persekutuan bersama wartawan atau editor berkaitan tajuk tersebut.

“Bagaimanapun, angka-angka statistik yang digunakan di dalam laporan itu adalah berdasarkan maklumat yang diberikan kepada wartawan Utusan Malaysia secara bertulis (questionnaire) seperti di Lampiran A, yang mana tiada penggunaan kata ‘Orang Kaya’atau yang seumpamanya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menjelas lanjut, meskipun laporan berita tersebut berniat untuk memaklumkan kepada rakyat mengenai usaha yang dilakukan KWP dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), namun ia telah menggunakan istilah yang salah dan memetik di luar konteks jawapan bertulis berkenaan sehingga mengakibatkan kekeliruan kepada orang awam.

Justeru itu katanya, tajuk dan pelaporan berita tersebut adalah pandangan dan penafsiran sendiri wartawan atau editor dengan menggunakan frasa “Orang Kaya’ Sewa PPR”.

Menurut kenyataan itu,tindakan rampasan unit dibuat sekiranya penyewa sedia ada melakukan kesalahan menyalahi syarat antaranya tidak menetap lebih 14 hari.

“Rampasan turut dilakukan terhadap penghuni tidak sah iaitu menyewakan atau melepaskan pemilikan unit atau sebahagiannya kepada orang lain.

“Selain itu, penyewa melakukan kesalahan seperti perbuatan musnah laku atau ‘vandalisme’, membuang sampah merata dan membuat halangan di koridor, tangga atau mana-mana tempat yang disediakan untuk kegunaan bersama,” katanya.

Dalam pada itu, KWP melalui DBKL menegaskan bahawa pihaknya amat prihatin akan masalah warga kota yang memerlukan rumah untuk didiami seperti di PPR dan PA.

“KWP dan DBKL tidak akan berkompromi dengan mereka yang menyalahgunakan dan menyalahi syarat menyewa premis.

“Tindakan penguatkuasaan sentiasa diambil dari semasa ke semasa bagi memastikan hanya mereka yang layak sahaja menyewa dan mendiami unit PPR dan PA,” katanya. –WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas