Berita

KWP santuni pelajar tahfiz di sekitar Kuala Lumpur

ROSIDA menyantuni anak-anak tahfiz sempena Program Semarak Kasih Bersama Pelajar Tahfiz Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Madrasah Ad-Dirasatil Islamiyyah.
- Diterbit 24 Februari 2022 9:46 AM MYT

SAMBUTAN Hari Wilayah Persekutuan (SHWP) yang disambut setiap tahun bukan berbentuk festival semata-mata, malah elemen kemanusiaan dan kebajikan warga Wilayah Persekutuan tidak pernah dilupakan bagi merasai keceriaan Hari Wilayah ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) Datuk Seri Rosida Jaafar berkata, golongan rentan yang kurang bernasib baik dan serta pelajar yang memerlukan bantuan tidak pernah dilupakan sepanjang sambutan Hari Wilayah sebelum ini.

“Sebelum ini kita pergi menyantuni gelandangan, Orang Kelainan Upaya (OKU), jadi pada tahun ini kita melihat pelajar tahfiz di ibu negara ini dan mereka wajar disantuni.

“Ini selaras dengan konsep Keluarga Malaysia dan juga atas semangat ‘Our City Our Home‘ yang memayungi semua golongan tak kira sama ada golongan kaya, miskin dan yang bekeperluan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Semarak Kasih Bersama Pelajar Tahfiz Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Madrasah Ad-Dirasatil Islamiyyah dekat Bandar Baru Sri Petaling di sini hari ini.

Hadir sama, Pengurus Jabatan Sumber Manusia & Pentadbiran Korporat Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) Mohd Zaidi Yusof yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Datuk Zaizalnizam Zainun.

Rosida memberitahu, untuk program tersebut, pihaknya menghulurkan sumbangan berbentuk wang tunai kepada setiap pelajar serta pihak pengurusan Sekolah Tahfiz, barangan elektrik serta barangan makanan untuk keperluan pelajar-pelajar.

“Dalam program ini, kami akan mengunjungi tiga buah pusat tahfiz di Sri Petaling, Kampung Desa Pahlawan, Jalan Ampang Batu dan seterusnya Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang akan menyantuni mereka pada bulan Mac nanti.

“Kami turut turut menghulurkan sedikit bantuan berupa wang tunai untuk semua pelajar dan tenaga pengajar bernilai RM100 seorang, mesin basuh, alat pendingin hawa, peti sejuk, tilam dan bantal, makanan sejuk beku termasuk ikan dan ayam untuk keperluan pelajar-pelajar.

“Pihak YWP menyumbangkan makanan kering manakala JAWI menyumbangkan makanan bermasak,” katanya.

Dalam pada itu, Rosida menyeru semua pihak termasuk Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan syarikat-syarikat korporat untuk menghulurkan bantuan dan keperluan tertentu untuk semua pusat tahfiz di sekitar Kuala Lumpur memandangkan ianya diuruskan secara persendirian. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas