Berita

KPDN sedia kajian kebolehlaksana ‘Lemon Law’

- Diterbit 19 Mac 2024 1:31 PM MYT

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Kajian Kebolehlaksanaan Lemon Law pada tahun 2024 bagi memperkasakan hak pengguna untuk menuntut tebus rugi sekiranya mereka menerima kenderaan bermotor yang rosak atau gagal mematuhi standard kualiti atau prestasi seperti yang dijanjikan oleh pembekal dan tidak dapat dibaiki atau dibetulkan.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata peruntukan perundangan berkaitan hak tebus rugi pengguna terhadap pembekal atau pengilang sekiranya barangan yang dibekalkan gagal mematuhi gerenti yang ditetapkan telah termaktub dalam Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599) di bawah kawal selia Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Peruntukan di bawah Akta 599 yang berkaitan perkara ini adalah Bahagian V- Gerenti berkenaan Dengan Pembekalan Barang; Bahagian VI- Hak terhadap pembekal berkenaan dengan gerenti dalam pembekalan barang; dan Bahagian VII- Hak terhadap pengilang berkenaan dengan gerenti dalam pembekalan barang dan Bahagian XII – Bidang Kuasa Tribunal Tuntutan Pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi soalan lisan yang dikemukan Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang bertanya sama ada “Lemon Law” akan diperkenalkan untuk melindungi hak pengguna dalam pembelian kenderaan baru dan terpakai sekiranya berlaku kerosakan.

Jelas Armizan, peruntukan undang-undang bagi memelihara kepentingan hak pengguna di Malaysia telah diambil kira dengan jaminan untuk memperoleh barangan dengan kualiti yang munasabah dan hak untuk menebus rugi sekiranya barangan tidak mematuhi gerenti melalui peruntukan di bawah Akta 599.

Ujarnya, setelah kajian selesai, satu keputusan dasar di peringkat Kementerian akan dibuat sebelum penambahbaikan rangka kerja perundangan dilaksanakan.

Lemon Law adalah satu undang-undang yang menyediakan hak tebus rugi (redress) kepada pembeli kereta dan barangan pengguna lain untuk mendapatkan remedi terhadap produk yang berulang kali rosak dan gagal memenuhi standard kualiti dan prestasi. Antara remedi yang boleh dituntut oleh pengguna atau pembeli di bawah Lemon Law ini adalah pembaikan, penggantian, pengurangan harga atau pembayaran balik. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas