Berita

Konvokesyen Cilik bentuk motivasi murid

SALAH seorang pelajar menerima skrol di Konvokesyen Cilik anjuran UM.
- Diterbit 5 Januari 2024 10:50 AM MYT

UNIVERSITI Malaya (UM) meraikan 36 murid-murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) 1 Selayang Baru, Batu Caves, Selangor menerusi sebuah program unik yang diadakan di Dewan Tunku Canselor, UM baru-baru ini.

Menurut Guru Besar SK 1 Selayang Baru, Mohd Rizal Rais, meskipun program tersebut diadakan secara ringkas namun ia meninggalkan kesan mendalam buat kesemua pelajar.

“Menerusi Program Konvokesyen Cilik, para pelajar diraikan seperti seorang graduan universiti, dengan memakai topi mortarboard dan menerima skrol di atas pentas setelah nama mereka dipanggil satu persatu, persis di majlis konvokesyen sebenar.

“Walaupun hanya dibuat secara ringkas, saya gembira melihat riak wajah anak-anak ini yang sangat teruja menerima gulungan skrol di atas pentas dewan tersohor ini. Kebanyakan daripada mereka merupakan anak-anak yatim dan asnaf, jadi peluang sebegini pastinya akan meninggalkan kesan yang mendalam di dalam diri mereka,” ujarnya program tersebut turut menampilkan perarakan-perarakan yang melibatkan ‘Dekan’ dan ‘Pengurusan Tertinggi’ universiti yang dilakonkan oleh mahasiswa UM daripada pelbagai latar belakang fakulti.

Mohd Rizal yakin impak motivasi kepada para pelajar adalah sangat besar dan diharapkan kerjasama kedua belah pihak ini dapat diteruskan dalam program-program lain pada masa hadapan, demi mendekati anak-anak ini yang kebanyakannya terdiri daripada golongan berpendapatan rendah (B40) dan miskin bandar.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Komunikasi Korporat UM, Profesor Madya Ir Dr Nahrizul Adib Kadri turut menekankan kepentingan kepada anak-anak murid SK 1 Selayang Baru untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam apa juga bidang yang diceburi.

“Kejayaan bukan hanya diukur dari sejauh mana kemampuan kita untuk melanjutkan pelajaran, namun yang lebih penting adalah iltizam untuk menjadi insan yang berguna.

“Saya bersyukur program yang julung kali diadakan ini berjaya dilaksanakan walaupun dalam masa yang singkat dan sangat berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat.

“Walaupun terkekang dengan kesibukan musim konvokesyen, namun program kemasyarakatan yang berhasrat untuk membina motivasi murid-murid sekolah ini berjaya dilaksanakan,” katanya yang melakonkan watak Pro Canselor di dalam program tersebut.

Terdahulu, program yang buat pertama kalinya telah memasyarakatkan sebuah istiadat konvokesyen di sebuah universiti awam ini turut dijayakan oleh Yayasan Kebajikan Anak-anak Yatim Malaysia (YATIM). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas