Berita

Koir DBKL JC’s Voice naib johan Pertandingan Koir Perpaduan WPKL

AZMI (lima kiri) bergambar bersama pasukan Koir DBKL, JC's Voices sejurus diumumkan sebagai naib johan pertandingan di Universiti Asia Pasific Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
- Diterbit 22 Oktober 2022 4:32 AM MYT

KUMPULAN Koir Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), JC’s Voice muncul naib johan dalam Pertandingan Koir Perpaduan Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) baru-baru ini bertempat di Auditorium 2, Universiti Asia Pasific Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Menurut Ketua Pasukan Koir DBKL, Azmi Abdul Hamid kemenangan tersebut merupakan hadiah dan penghargaan besar buat seluruh anggota kumpulan JC’s Voices di atas komitmen yang diberikan sebelum pertandingan berlangsung.

“Saya berasa bangga dengan usaha yang diberikan oleh mereka. Kadang-kadang semasa waktu rehat mereka curi masa seketika untuk
berlatih kerana ahli koir terdiri daripada pelbagai jawatan daripada beberapa jabatan di DBKL.

“Kami hanya mengambil masa selama tujuh hari sahaja untuk berlatih sehinggalah ke hari pertandingan dan lebih membanggakan, ini merupakan anugerah pertama buat pasukan koir JC’s Voices bagi tahun 2022,” katanya kepada Wilayahku.

Seiring tujuan penganjurannya untuk memartabatkan bahasa kebangsaan melalui platform muzik, JC’s Voices menyampaikan lagu Gemuruh daripada penyanyi terkenal, Faizal Tahir.

“Lagu tersebut telah digubah semula oleh unit muzik DBKL dan merupakan antara 15 buah lagu yang disenaraikan oleh pihak penganjur,” katanya.

Dianggotai seramai 22 orang di bawah penyelarasan Unit Muzik, Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan sukan DBKL, JC’s Voices ini berjaya membawa pulang sebuah trofi, sijil beserta wang tunai bernilai RM3,500.

Ditanya tentang perancangan JC’s Voices, Azmi berkata selaku tenaga pengajar, beliau akan terus menumpukan perhatian kepada persembahan majlis rasmi anjuran DBKL, pihak kementerian dan swasta.

“Kami juga sentiasa bersedia untuk menyertai mana-mana pertandingan bagi meningkatkan lagi mutu persembahan serta mengumpul pengalaman untuk muncul sebagai kumpulan koir yang hebat buat warga kota,” katanya.

Terdahulu, pertandingan yang dianjurkan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional WPKL pada 15 dan 16 Oktober lalu diadakan bersempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Ia disertai oleh lapan buah kumpulan Koir sekitar Kuala Lumpur antaranya Malaysia Institute of Art (MIA), Universiti Geomatika Kuala Lumpur, Sekolah Menengah Kebangsaan Kepong, Kuala Lumpur dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional WPKL. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas