Kes Rayuan Rosmah: Mahkamah arah pendakwaan dan pembelaan fail hujah lanjut isu bidang kuasa

Kes Rayuan Rosmah: Mahkamah arah pendakwaan dan pembelaan fail hujah lanjut isu bidang kuasa

PASUKAN pendakwaan dan pembelaan perlu memfailkan hujahan lanjut berhubung sama ada Mahkamah Rayuan mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dua rayuan Datin Seri Rosmah Mansor supaya Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menarik diri daripada mendengar kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukainya.

Rosmah, isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu merayu terhadap dua keputusan Hakim Mohamed Zaini pada 14 Dis 2021 dan 25 April lepas yang menolak permohonan Rosmah bagi beliau menarik diri daripada mendengar kes berkenaan.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Hanipah Farikullah berkata, panel itu telah membaca hujahan bertulis yang difailkan kedua-dua pihak, dan mahkamah berpendapat ada perkara awal berhubung isu bidang kuasa yang perlu didengar terlebih dahulu.

“Ia berhubung sama ada perkara ini boleh dirayu di bawah Seksyen 3 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (COJA) dibaca bersama Seksyen 51 COJA.

“Jadi, mahkamah memberi tempoh sebulan kepada kedua-dua pihak untuk memfailkan hujahan bertulis lanjut mengenai perkara itu,” kata Hakim Hanipah yang bersidang bersama Hakim Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Nordin Hassan.

Seksyen 3 COJA menyatakan bahawa istilah “keputusan” bermaksud penghakiman, hukuman atau perintah yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi, tetapi tidak termasuk apa-apa keputusan yang dibuat semasa perbicaraan atau pendengaran apa-apa kausa atau perkara, yang akhirnya tidak melupuskan hak pihak-pihak berkaitan.

Sementara itu Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn memberitahu pemberita bahawa rayuan akan ditetapkan bagi pengurusan kes pada 23 Dis sementara menunggu pemfailan hujahan lanjut.

Peguam Datuk Geethan Ram Vincent dan Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, mewakili Rosmah, yang hadir di mahkamah hari ini.

Dalam permohonannya itu, Rosmah antara lain menyatakan alasannya adalah untuk mengelak sebarang kemungkinan Hakim Mohamed Zaini bersikap prejudis dan berat sebelah terhadapnya jika beliau mengetuai kes pengubahan wang haram, memandangkan hakim yang sama turut mendengar satu lagi kes perbicaraan rasuah yang dihadapinya, berkaitan projek hibrid solar yang melibatkan sekolah luar bandar di Sarawak.

Rosmah, 70, berhadapan dengan 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Dis 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Sementara itu kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai ditetapkan untuk pengurusan kes pada 29 Nov di hadapan Hakim Mohamed Zaini.

Pada 1 Sept lepas, Hakim Mohamed Zaini mendapati Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.

Mahkamah juga memerintahkan isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda itu.

Bagaimanapun Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan. – BERNAMA

Share This