Berita

Bajet 2023 MAIWP meningkat, agih 1.18 bilion

- Diterbit 22 November 2022 9:53 AM MYT

ANGGARAN perbelanjaan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) tahun depan meningkat sebanyak 13.54 peratus kepada RM1.448 bilion berbanding RM1.28 bilion pada 2022.

Ketika membentangkan Bajet MAIWP 2023, Pengerusinya Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata daripada anggaran perbelanjaan itu, ia termasuk perbelanjaan pengagihan sebanyak RM1.18 bilion, anggaran pengurusan RM199.55 juta dan pembangunan berjumlah RM70.78 juta.

“Fokus utama perbelanjaan pengurusan memberi penekanan kepada aspek kecekapan, kompetensi dan peningkatan mutu perkhidmatan MAIWP selari dengan teknologi.

“Perbelanjaan pembangunan merangkumi aktiviti fizikal pembangunan, pembelian aset, pembangunan hartanah dan pelaburan,” katanya pada sidang media Bajet 2023 MAIWP di sini, hari ini.

Beliau berkata anggaran perbelanjaan bagi 2023 berdasarkan peningkatan kutipan zakat dengan anggaran pendapatan zakat berjumlah RM1.286 bilion atau 15.7 peratus berbanding tahun ini yang berjumlah RM1.11 bilion.

Selain itu, Mohd Daud berkata bagi menampung anggaran perbelanjaan tahun ini, MAIWP telah menyediakan Bajet Defisit melalui pecairan rezab simpanan dan wang tunai sebanyak RM162.12 juta.

Menurut beliau Bantuan Zakat Khas MAIWP Insani telah diberikan kepada 73,895 penerima dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM50 juta berikutan cabaran kenaikan inflasi dan krisis geopolitik yang memberi kesan kepada bekalan makanan dan bahan tenaga.

Mohd Daud berkata Bantuan Zakat Khas ini disalurkan secara berperingkat sehingga bulan depan merangkumi Bantuan Kewangan Bulanan sebanyak RM1,000 seorang di mana baki bayaran RM750 kepada 30,000 penerima manakala seramai 36,750 penerima Bantuan Am Persekolahan akan menerima sebanyak RM200 seorang.

“6,600 penerima Bantuan Am Pelajaran IPT akan menerima RM500 seorang, 530 institusi akan menerima RM30,000 bagi setiap institusi untuk membiayai pelaksanaan aktiviti pelajar asnaf dan pembaikan infrastruktur Sekolah Rendah dan Menengah, KAFA dan Tahfiz

“Sebanyak RM950 ribu juga telah disalurkan pada 15 hospital dalam Bantuan Khas Tabung Kebajikan Hospital untuk menampung kos rawatan asnaf,” katanya

Beliau juga berkata Bajet MAIWP 2023 telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 14 Nov yang bertemakan Pemerkasaan dan Pemberdayaan sosioekonomi Ummah. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas