Berita

Kes bunuh di Sungai Choh: Lima lagi ditahan

- Diterbit 25 Disember 2023 5:55 PM MYT

POLIS menahan lima lagi individu semalam bagi membantu siasatan kes seorang lelaki maut ketika bergaduh dengan abang teman wanitanya, di Sungai Choh, Rawang, Selangor pada Sabtu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Supt Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata mereka terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia 19 hingga 35 tahun.

“Tangkapan dilakukan di tiga lokasi berbeza. Seorang lelaki dan dua wanita ditahan di Desa Aman Puri, di sini pada 4.40 petang manakala seorang lelaki pada 6.15 petang di Pusat Perdagangan Alam Jaya, Bandar Puncak Alam.

“Lelaki terakhir ditahan pada 11 malam di Sungai Choh. Kesemuanya direman seminggu bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata proses bedah siasat yang selesai petang semalam menemukan kesan cedera dan lebam pada kepala dan seluruh badan mangsa, namun punca kematian belum disahkan.

Noor Ariffin berkata teman wanita mangsa tidak mempunyai kaitan dengan kes itu dan dakwaan video bogel teman wanita itu sebagai motif kejadian masih dalam siasatan pihak polis.

Semalam, Bernama melaporkan seorang lelaki maut dipercayai dipukul dengan menggunakan kayu, botol dan tong besi oleh abang teman wanitanya kira-kira 11 pagi, Sabtu dipercayai akibat salah faham sebelum mayatnya ditanam di kawasan semak di belakang rumah keluarga wanita itu di Sungai Choh.

Susulan itu, polis telah menahan tiga beradik iaitu dua lelaki dan seorang wanita berusia 29 hingga 33 tahun disyaki terlibat dalam kes berkenaan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas