Berita

Kerja baik pulih bumbung rumah pangsa sedang dilaksanakan, ambil masa tiga minggu untuk siap

KERJA-KERJA pembaikan telah pun bermula dan dijangka mengambil masa tiga minggu untuk siap.
- Diterbit 30 Januari 2022 11:12 AM MYT

KERJA-KERJA baik pulih bumbung rumah empat buah blok di Taman Melati dalam satu kejadian ribut pada 24 Januari lalu sedang dilaksanakan oleh Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) setelah mengadakan sesi libat urus bersama penduduk setempat.

Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Datuk Zaizalnizam Zainun berkata, kerja-kerja pembaikan telah pun bermula dan dijangka mengambil masa tiga minggu untuk siap.

“Perkakasan seperti kerangka besi untuk pembaikpulihan empat blok, kanvas dan bahan yang berkaitan telah dihantar ke lokasi pada 29 Januari 2022,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Zaizalnizam, perkara tersebut telah dimaklumkan kepada persatuan penduduk yang sentiasa berkomunikasi dengan pihak YWP berhubung kerja-kerja pembaikan ini.

“Ia telah disahkan sendiri oleh Pengerusi Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Flat Taman Melati yang juga merupakan Pengerusi Persatuan Penduduk Blok 4B, Abu Bakar Ismail, yang berhubung rapat dengan YWP bagi memastikan kerja-kerja baik pulih berjalan mengikut perancangan,” katanya.

Menurut Zaizalnizam, sejurus selepas kejadian itu berlaku, YWP dan Jabatan Kebajikan Masyakarat WPKL juga telah memberikan bantuan makan malam, sarapan dan tengah hari untuk 200 orang yang terlibat dari semasa ke semasa di Pusat Pemindahan Sementara yang disediakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sejak Isnin lalu.

“Pada 28 Januari lalu, YWP turut menyalurkan sumbangan tunai sebanyak RM250 per keluarga kepada 46 buah keluarga,” katanya.

Dalam kejadian pada pukul 3 petang lalu, empat blok rumah pangsa di Taman Melati yang melibatkan 40 unit rumah dari Blok A13, A14, A15 dan A16 mengalami kerosakan akibat angin kencang dan hujan lebat. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas