Berita

Kerajaan setuju pelajar JPA kerja luar negara boleh tangguh pulang Malaysia

Gambar hiasan
- Diterbit 7 Februari 2024 3:10 PM MYT

KERAJAAN bersetuju supaya pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di luar negara boleh dipertimbangkan untuk menangguhkan kepulangan ke Malaysia bagi tujuan bekerja di luar negara.

JPA dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat untuk memberi peluang kepada pelajar menimba pengalaman dan kemahiran pekerjaan di luar negara sebelum balik berkhidmat di dalam negara.

Tambahnya, terdapat beberapa ketetapan boleh dipertimbangkan penangguhan kepada pelajar-pelajar.

“Antaranya kebenaran bekerja adalah berdasarkan permohonan yang dikemukakan oleh pelajar tahun akhir di peringkat Ijazah Pertama dan tidak diberikan secara automatik serta tempoh penangguhan yang dibenarkan untuk bekerja di luar negara adalah tidak melebihi 3 tahun.

“Selain itu, pelajar tajaan pinjaman dikehendaki membayar balik nilai pinjaman secara ansuran bulanan dalam tempoh penangguhan tersebut dan tempoh bekerja di luar negara akan dikira sebagai Tempoh Ikatan Berkhidmat yang ditetapkan di dalam perjanjian.

“Akhir sekali, bagi pelajar tajaan pinjaman, pelarasan bayaran balik nilai pinjaman berdasarkan sektor pekerjaan dalam negara hanya dibenarkan sekali sahaja setelah pelajar pulang ke Malaysia tertakluk kepada syarat yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, permohonan boleh dibuat mulai 15 Februari depan melalui laman sesawang https://myself.jpa.gov.my.

“Sebarang maklumat lanjut boleh dirujuk kepada Soalan Lazim atau maklumat perhubungan yang disediakan di laman sesawang tersebut,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas