Berita

Calon KP J-KOM telah disenarai pendek – Fahmi

- Diterbit 7 Februari 2024 3:52 PM MYT

CALON Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) telah disenarai pendek di peringkat pentadbiran sebelum lantikan dimuktamadkan.

Jurucakap Kerajaan, Fahmi Fadzil berkata pihaknya sedang dalam proses untuk membuat pelantikan ia akan diumumkan selepas semua proses berkaitan selesai.

“Kita akan umumkan nanti setelah selesai keseluruhan proses,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata pihaknya dalam proses merombak keseluruhan struktur J-KOM berpandukan mesyuarat hala tuju strategik kementerian bagi tahun 2024-2025.

“Ia menjadi keutamaan kementerian untuk menyelaraskan semula jabatan ini dan ia perlu disuaimanfaatkan di selaraskan semula beberapa tindakan gerak kerja dan fungsi berpandukan kepada kami di peringkat kementerian.

“Ia juga selepas mengambil kira keputusan yang telah dibuat dan saya telah sebutkan perkara ini didalam perhimpunan bulanan semalam maka antara lain, fungsi J-KOM tidak akan berfungsi seperti sebelum ini,” katanya.

Sebagai rekod bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Mohammad Agus Yusoff sebelum ini pernah menerajui jabatan berkenaan namun melepaskan jawatan pada November tahun lalu atas alasan telah mendapat tawaran kerja baharu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas