Berita

Kerajaan Persekutuan wujudkan lima strategi tangani masalah kekurangan beras dalam negara

HAD pembelian akan dikenakan maksima 100 kg beras putih tempatan.
- Diterbit 15 September 2023 12:30 AM MYT

KERAJAAN Persekutuan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mewujudkan lima strategi bagi menangani masalah kekurangan beras putih yang sebelum ini mencetuskan polemik dalam negara.

Menurut KPKM, strategi yang dilaksanakan ini antaranya mengarahkan pengilang beras menyerahkan 20 peratus stok padi mereka kepada kerajaan melalui Syarikat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS).

“BERNAS akan memproses serta mengagihkan kepada pembekal beras termasuk dengan memberikan lesen khas kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) dan syarikat bumiputera yang terpilih. “Program ini memudahkan kerajaan untuk memantau kuantiti beras tempatan yang dapat dibekalkan kepada pasaran tempatan yang mengalami gangguan bekalan,” kata KPKM.

KPKM berkata pihaknya akan mengenakan had pembelian dengan setiap pengguna atau peniaga kedai makan hanya boleh membeli maksima 100 kilogram (kg) beras putih tempatan bagi memastikan bekalan beras stabil dan semua pihak boleh mendapatkan bekalan beras tanpa sebarang masalah.

Selain itu, Ops Beras Putih Tempatan 2.0 akan dilancarkan bagi memastikan bekalan beras dapat dipulihkan sekali gus menstabilkan pasaran.

“KPKM mengadakan kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk melakukan pemeriksaan besar-besaran dengan lebih kerap terhadap semua pengilang, pemborong dan penjual beras bagi memastikan tiada penyelewengan dilakukan,” katanya.

Katanya lagi, Task Force Beras Tempatan juga telah dibentuk dan pasukan ini akan melakukan pemeriksaan rawak ke atas beras import yang dijual di pasaran dan melakukan analisis kimia bagi mengesan penipuan atau campuran beras Justeru itu bagi menstabilkan beras dalam negara, KPKM telah melancarkan talian hotline 03-8870 1751 / 1748 / 1183 bagi memudahkan orang ramai menyalurkan maklumat tentang bekalan atau penyelewengan yang dikesan oleh mereka.

Sementara itu, menurut KPKM, harga Beras Putih Import (BPI) ditentukan oleh negara pengeksport beras.

“Tahun ini harga beras dunia telah naik dengan mendadak berbanding tahun lepas. Contohnya harga jualan beras Thailand pada Ogos 2022 dijual pada USD400 (RM1,870/tan) tetapi pada Ogos 2023 harga jualannya sudah mencecah USD650 (RM3,039/tan),” katanya.

Jelas KPKM, BERNAS terpaksa membuat pelarasan harga beras import dari RM2,300/tan kepada RM3,250/ tan.

Tambahnya, sekiranya BERNAS tidak membuat pelarasan harga, BERNAS akan mengalami kerugian RM80 juta sebulan dan keadaan ini berisiko menjejaskan peranan BERNAS sebagai penyedia stok penimbal beras negara.

KPKM menegaskan hanya harga beras tempatan yang dikawal oleh kerajaan iaitu pada kadar RM2.60 sekilo. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas