Berita

Fiesta Yakult 2023 meriah, bakal keliling satu Malaysia

ORANG ramai tidak melepaskan peluang mengunjungi Fiesta Yakult 2023 baru-baru ini.
- Diterbit 15 September 2023 2:00 AM MYT

BERAKHIR dengan meriah. Itu gambaran suasana Yakult Fiesta 2023 yang dianjurkan oleh syarikat Yakult (M) Sdn Bhd, pada 26 Ogos yang lalu bertempat di kilang Yakult Seremban, Negeri Sembilan yang berjaya menarik seramai 1500 orang pengunjung, termasuk pelanggan setia Yakult dan rakan-rakan strategik.

Menurut Pengurus Kanan Jabatan Perhubungan Awam Yakult Malaysia Sdn Bhd, Lim Siew Ling, tujuan fiesta tersebut diadakan bagi menghargai pelanggan dan rakan-rakan strategik yang sentiasa menyokong usaha Yakult.

“Menerusi fiesta ini, Yakult menyatakan rasa penghargaan dan mengiktiraf sokongan berterusan daripada pelanggan serta rakan strategik yang bersama-sama Yakult dalam mempromosikan kesihatan dalam kalangan komuniti.

“Sebenarnya fiesta ini adalah acara tahunan Yakult. Namun, beberapa tahun kebelakangan ini ia tidak dianjurkan kerana pandemik COVID-19. Jadi, pihak Yakult menangguhkan acara ini sehinggalah keadaan betul-betul membenarkan,” katanya.

Tambahnya, pada Yakult Fiesta 2023, pengunjung berpeluang melawat kilang Yakult dan melihat sendiri penghasilan minuman probiotik.

“Kebiasaannya pihak luar perlu membuat permohonan awal untuk melawat kilang, namun sempena fiesta ini, ia terbuka kepada sesiapa sahaja. Selain itu, kami turut menganjurkan pertandingan membuat kraf menggunakan botol Yakult yang melibatkan pelajar sekolah rendah dari 20 buah sekolah rendah di Negeri Sembilan.

“Pihak kami memberi kebebasan kepada mereka menggunakan kreativiti sendiri untuk membuat apa sahaja kraf menggunakan botol Yakult. Pertandingan ini sudah bermula awal, lima kraf tercantik dipamerkan pada fiesta tersebut,” jelasnya.

Selain itu, para pengunjung juga dapat berhibur dengan pelbagai permainan selain pertandingan mewarna dan juga persembahan menarik oleh pelajar-pelajar sekolah. Acara ini juga diserikan lagi dengan kehadiran Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroki Yanase; Pengarah Kilang Yakult Malaysia, Yuji Yoshida dan Penolong Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Seremban, Fazeerul Akmar Ahmad.

Katanya lagi, permintaan ramai, Yakult akan meneruskan program kesihatan bersama komuniti di seluruh Malaysia sehingga akhir tahun ini.

“Program ini menekankan soal kesihatan seperti penjagaan usus, pemeriksaan kesihatan, ceramah daripada doktor selain taklimat tentang kebaikan Yakult.

“Setakat ini, kita sudah pun ke selatan tanah air dan akan ke utara, pantai timur, Sabah dan Sarawak,” ujarnya pada 29 September ini Yakult berada di Terengganu. – WILAYAHKU

PELAJAR bertuah sempena Fiesta Yakult 2023 di Seremban.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas