Berita

Kenyataan berbaur hasutan: Permohonan dua rakyat Sabah rayu saman terhadap Hadi Awang dibatal

- Diterbit 4 April 2023 8:30 AM MYT

MAHKAMAH Persekutuan hari ini membatalkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran merayu supaya saman terhadap Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung dakwaan beliau membuat kenyataan berbaur hasutan, dapat dihidupkan semula.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah berkata penangguhan yang dikemukakan Maklin Masiau dan Lawrence Jomiji Kinsil @ Maximilhian tidak disokong oleh afidavit yang  sewajarnya dan sah, kerana ia tidak diperakui pesuruhjaya sumpah.

“Oleh itu, tidak ada permohonan yang kompeten di sini,” kata Hakim itu yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Harmindar Singh Dhaliwal.

Hakim Mohamad Zabidin yang menyampaikan keputusan sebulat suara mahkamah menerusi prosiding dalam talian itu, menolak permohonan berkenaan tanpa sebarang kos.

Pada Disember 2020, dua rakyat Sabah itu menfailkan saman terhadap Abdul Hadi, memohon deklarasi bahawa Presiden PAS itu telah menghasut dan tidak sesuai untuk memegang jawatan dalam perkhidmatan awam.

Mereka mendakwa Abdul Hadi mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan terhadap penganut dan mubaligh Kristian yang disiarkan dalam akhbar Harakah pada 18 Jan 2016.

Pada 7 Mei tahun lepas, hakim Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir membenarkan permohonan Abdul Hadi untuk membatalkan saman yang difailkan terhadapnya oleh Maklin dan Lawrence.

Mereka juga gagal dalam rayuan berikutnya, yang ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 16 Ogos lepas.

Mahkamah dijadualkan mendengar permohonan kedua-dua mereka hari ini, namun peguam Abdul Hadi, Yusfarizal Yussoff telah membangkitkan bantahan awal dengan mengatakan bahawa tiada afidavit yang sah dikemukakan bagi menyokong permohonan itu.

Beliau berkata tempoh masa yang mencukupi telah diberikan kepada pemohon, sejak Oktober lepas lagi, untuk mengambil langkah-langkah bagi membetulkan perkara itu, dan menambah bahawa mereka tidak sepatutnya diberikan peluang lagi untuk mendapatkan afidavit yang telah disahkan.

Yusfarizal, yang dibantu oleh peguam Adam Luqman Amdan, turut berkata tiada permohonan dibuat oleh pemohon untuk mendapatkan kebenaran mahkamah menggunakan afidavit yang cacat.

Peguam R. Kengadharan yang mewakili Maklin dan Lawrence berkata anak guamnya yang tinggal di Wilayah Persekutuan Labuan, hanya menandatangani dokumen itu tanpa mengesahkannya di hadapan pesuruhjaya sumpah.

Beliau memberitahu mahkamah bahawa cubaan untuk menghubungi Maklin bagi mengesahkan afidavit itu tidak berjaya, dan beliau meminta mahkamah memberikan beliau satu lagi peluang untuk memastikan afidavit itu disahkan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas