Berita

Perkeso komited laksana penambahbaikan seperti diumumkan PERMAI

|
- Diterbit 19 Januari 2021 11:54 AM MYT

PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (Perkeso) komited dalam pelaksanaan segera penambahbaikan bantuan untuk majikan dan pekerja seperti yang terkandung dalam pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Perkeso dalam satu kenyataan hari ini berkata penambahbaikan itu melibatkan Program Subsidi Upah 3.0 (PSU 3.0), Sistem Insurans Pekerjaan (SIP Prihatin), Skim Bencana Pekerjaan SPS Lindung dan Program Saringan COVID-19 Bagi Pekerja Asing.

“Penambahbaikan ini adalah selaras dengan pengumuman PERMAI oleh Perdana Menteri semalam agar semua bantuan dan manfaat daripada kerajaan disalurkan segera kepada mereka yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Menurutnya menerusi PSU 3.0, semua sektor kecuali sektor pelancongan dan peruncitan layak menerima subsidi upah RM600 bagi setiap pekerja yang bergaji kurang dari RM4,000 untuk tempoh sebulan manakala bagi sektor pelancongan dan peruncitan, mereka layak menerima subsidi upah RM600 sebulan untuk tempoh sehingga enam bulan.

“Dengan peruntukan tambahan RM1 bilion, kerajaan meningkatkan had 200 pekerja bagi setiap permohonan kepada 500 pekerja, dengan 250,000 majikan yang menggaji lebih daripada 2.6 juta pekerja dijangka akan mendapat manfaat daripada inisiatif ini,” katanya.

Kata Perkeso, elaun mencari pekerjaan telah ditambah baik dan dilanjutkan melalui program SIP Prihatin di bawah Belanjawan 2021 bagi mereka yang kehilangan pekerjaan akibat penularan wabak COVID-19.

Syarat untuk memohon elaun mencari pekerjaan di bawah SIP Prihatin juga telah dilonggarkan, dengan pekerja yang tidak memenuhi kelayakan caruman minimum, ataupun tidak dilanjutkan kontrak perkhidmatan setelah pembaharuan dibuat sekurang-kurangnya tiga kali, kini boleh memohon bantuan kewangan SIP Prihatin sebanyak 30 peratus daripada gaji mereka selama tiga bulan, katanya.

Perkeso juga menyeru ‘delivery riders’ yang juga merupakan barisan hadapan sewaktu pelaksanaan PKP dengan penghantaran makanan dan barangan agar segera mendaftar di bawah Program SPS Lindung untuk perlindungan jika berlaku kemalangan berkaitan pekerjaan.

“Di bawah program ini, kerajaan menyediakan caruman penuh untuk mereka selama setahun menerusi Pelan 2 Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri sebagai perlindungan terhadap bencana pekerjaan.” kata Perkeso.

Sementara itu Program Saringan COVID-19 Bagi Pekerja Asing yang berdaftar diteruskan dengan kos pembekalan kit ujian ditanggung sepenuhnya oleh Perkeso di zon berisiko tinggi yang disasar bagi mengenal pasti kluster-kluster COVID-19 di tempat kerja, namun menurut Perkeso sehingga kini hanya 18 peratus daripada pekerja asing yang berdaftar dengan Perkeso telah menjalani ujian saringan COVID-19 menerusi program berkenaan.

Sehubungan itu, Perkeso menggesa majikan yang masih belum menghantar pekerja-pekerja asing mereka untuk menjalani saringan COVID-19 supaya segera membuat janji temu dengan klinik-klinik yang terlibat dalam program ini. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas