Berita

Kaji punca keciciran pelajar di peringkat menengah – PIBGN

- Diterbit 24 Mac 2023 5:00 AM MYT

MAJLIS Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) menyarankan kerajaan untuk mengkaji punca keciciran pelajar di peringkat menengah sebelum mengambil tindakan bersifat denda atau hukuman penjara.

Presidennya Prof Madya Dr Mohamad Ali Hassan berkata siasatan terperinci perlu dilakukan bagi mencari penyelesaian kepada masalah keciciran pelajar ini termasuk melalui kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah.

“Saya melihat ada beberapa perkara yang menyebabkan mereka (pelajar) tidak mahu ke sekolah, antaranya disebabkan kemiskinan keluarga atau mereka itu beranggapan pendidikan yang diperoleh di peringkat menengah itu tidak membantu di alam pekerjaan kelak.

“Golongan ini wajar diberikan kaunseling bukan sahaja kepada pelajar tetapi ibu bapa atau penjaga,” katanya kepada Bernama.

Pada 22 Mac Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dilaporkan berkata tindakan undang-undang terhadap ibu bapa bukan satu-satunya jalan penyelesaian untuk memastikan tiada pelajar tercicir daripada mendapat pendidikan di peringkat menengah.

Sebelum ini, draf cadangan untuk mewajibkan pendidikan di peringkat sekolah menengah telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Mohamad Ali berkata beliau menyambut baik cadangan tersebut tetapi kerajaan wajar menyediakan keperluan kepada golongan kurang berkemampuan antaranya melibatkan yuran persekolahan, kelengkapan sekolah, elaun harian dan asrama.

Sementara itu, seorang ibu Rosnita Mohd Zaki, 45, menyokong cadangan kerajaan untuk mewajibkan pendidikan di peringkat menengah kerana ia peluang kepada pelajar memasuki alam pekerjaan dengan mudah.

“Mereka ini akan lebih matang dan ada peluang pekerjaan lebih bagus dengan masa depan terjamin jika berusaha di peringkat menengah,” kata pekerja swasta yang mempunyai dua orang anak.

Bagi suri rumah, Norzawani Abdul Latiff, 39, pula berkata bagi mengatasi isu keciciran dalam kalangan pelajar, kerajaan sebaiknya perlu melaksanakan pendidikan percuma terutamanya di peringkat rendah dan menengah.

“Apabila nak daftar sekolah banyak guna duit…tak semua orang mampu…tetapi sekiranya pendidikan itu percuma dengan bantuan semua tersedia, maka wajar ambil tindakan undang-undang kepada ibu bapa yang enggan hantar anak mereka ke sekolah,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas