Fokus

Jungle School Gombak pusat ilmu orang asal

MUZIUM Orang Asli bertujuan memelihara warisan adat budaya dan kesenian golongan tersebut
- Diterbit 19 Januari 2024 3:50 PM MYT

ORANG Asli atau orang asal di Malaysia bukanlah kaum minoriti yang bersifat homogen malah mereka merupakan kaum heterogen yang terdapat perbezaan unik dari segi sosiobudaya dan psiko-sosiokognitif bagi setiap kaum.

Pengenalan dan pendedahan umum kepada masyarakat tentang warisan budaya, adat resam dan kesenian Orang Asli wajar dikekalkan dan dipelihara agar tidak ditelan zaman meskipun negara telah melangkah arus kemodenan.

Kewujudan Muzium Orang Asli yang ditubuhkan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) menerusi ketua pengarahnya yang ke-4 pada tahun 1987 telah banyak membantu Jungle School Gombak Malaysia bagi memelihara dan menguar-uarkan khazanah warisan budaya Orang Asli kepada orang ramai.

Tenaga pengajar Jungle School Gombak Malaysia, Mohd Dayan Kalam, 27, berkata kewujudan sekolah tersebut adalah usaha untuk membantu dan membangunkan bangsa Orang Asli di sekeliling Malaysia supaya mereka boleh menjaga, mengamal dan mendemonstrasikan gaya hidup kepada seluruh dunia.

Katanya, antara aktiviti dan program yang ditawarkan adalah kemahiran hidup Orang Asli (Orang Asli Semenanjung Malaysia), mempelajari penggunaan flora dan fauna, kemahiran asas mencari makanan dan cara tradisional pembuatan pondok.

“Ia juga merangkumi aktiviti seperti perkhemahan, kesedaran tentang kelestarian hutan hujan, undang-undang hutan, menyediakan makanan seperti gaya Orang Asli dan program penanaman pokok.

“Lima peringkat kursus survival turut ditawarkan untuk orang ramai, sejak awal tahun 2014.

“Selain itu, kita juga menawarkan muzium guide and story telling, jungle trekking sambil mengenali flora dan fauna, makanan, menganyam bersama orang asli, menyumpit dan banyak lagi.

“Kita juga mempunyai aktiviti camping and fire-starting lesson di mana kebiasaannya diadakan di Pahang dan Johor selama 3 hari 2 malam,” ujarnya sekolah hutan membantu memperkasakan Orang Asli di Gombak untuk berkongsi pengetahuan budaya dan kepakaran mereka.

Tambahnya lagi orang ramai yang berminat boleh layari laman sesawang Jungle School Gombak atau media sosial kami, Facebook @Jungle School Gombak Malaysia atau hubungi di talian 019-382 2591. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas