Fokus

Bantu perkasa ekonomi Orang Asli

KUMPULAN pelajar dari Universiti Malaya yang mengikuti program bersama orang asli
- Diterbit 19 Januari 2024 3:40 PM MYT

KEHIDUPAN masyarakat Orang Asli di Malaysia unik untuk diterokai dan diketengahkan buat tatapan dan pengalaman pelancong lagi-lagi apabila keadaan ini mengkehendaki mereka pergi sendiri ke perkampungan Orang Asli yang kebiasaannya terletak dalam hutan, berpuluh-puluh kilometer jauh ke pedalaman.

Menurut Pengasas Bersama Jungle School Gombak Malaysia, Mejar Kalam Pie TUDM (Bersara), sesetengah kawasan dihuni Orang Asli sangat sesuai dijadikan kawasan tarikan pelancongan, ditambah keunikan kehidupan masyarakat.

“Seperti di kawasan Gombak ini banyak perkampungan Orang Asli Temuan, namun di Kampung Batu 12 terdapat 10 suku yang berlainan meskipun dihuni oleh kumpulan keluarga yang kecil.

“Apabila suku kaum lain ada maksudnya masih ada adat, budaya dan tradisi mereka yang boleh dikongsikan bersama orang luar. Dengan cara ini juga membuatkan orang ramai mempelajarinya dan ia tidak terus mati ditelan arus kemodenan,” katanya selepas Program 1 Hari Bersama Jungle School Gombak Malaysia pada Ahad.

Kalam berkata antara objektif utama penubuhan Jungle School Gombak Malaysia yang telah diasaskan oleh Pembantu Profesor Dr Norzalifa Zainal Abidin, seorang pensyarah di UIAM adalah bertujuan untuk mengetengahkan adat, kraf tangan, sumber makanan dan apa yang dimiliki oleh Orang Asli kepada dunia luar.

“Saya hanya menjadi orang tengah dalam memastikan golongan seperti kami ini tidak terus tercicir daripada ekonomi semasa dan dapat berkembang lagi. Ia sekali gus membantu menjana ekonomi negara kerana dapat menarik ramai pelancong luar untuk mengenali dan mempelajari tentang sejarah dan dalam masa sama ia menjadi salah satu sumber pendapatan mereka.

“Kalau kita lihat ada yang pandai bercucuk tanam, memancing, menganyam dan sebagainya namun mereka tidak tahu bagaimana mahu menarik orang luar untuk membeli atau datang ke kawasan mereka, jadi dengan bantuan saya sebagai orang tengah peserta-peserta Jungle School Gombak akan dibawa ke kawasan-kawasan tersebut,” ujarnya yang juga mempunyai kacukan Orang Asli Semelai.

Dalam pada itu, Kalam turut berharap program anjuran Jungle School ini mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) untuk memperkasakan lagi usaha dalam memelihara dan memulihara warisan, adat, tradisi dan budaya.

“Meskipun setiap suku kaum itu mempunyai cara tersendiri namun perlu diingatkan bahawa perbezaan itu bukan untuk perbalahan namun ia adalah definisi melengkapi satu sama lain,” katanya yang mengingatkan anak Orang Asli untuk tidak terus hilang identiti meskipun mengikuti arus kemodenan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas