Berita

Hari Belia Negara 2024: Ajak belia hayati makna nasionalisme

- Diterbit 17 Mei 2024 12:10 PM MYT

BELIA merupakan aset negara kerana di bahu merekalah kemajuan, kepimpinan, pendidikan, agama dan disiplin akan diletakkan pada masa akan datang. Malah mereka jugalah nanti yang akan menjadi pemimpin.  Maka sangatlah perlu seorang belia itu berpendidikan tanpa mengira dari mana asal usulnya.

Menurut Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim, golongan belia perlu memiliki integriti, harga diri dan maruah yang tinggi untuk muncul sebagai sebuah bangsa yang tidak kalah, tahan cabaran dan yakin dengan kebolehan diri sendiri.

“Selaras dengan tema Hari Belia Negara 2024 ‘Yakin Boleh’ golongan belia sering disebut sebagai pemimpin masa depan sesebuah negara yang mempunyai potensi besar untuk mempengaruhi hala tuju dan kekuatan sentimen nasionalistik.

“Dengan tenaga, semangat dan idealisme mereka, golongan muda mempunyai kuasa untuk memberi inspirasi kepada perubahan, menyatukan masyarakat dan membina rasa kekitaan bersama dalam sesebuah negara.

“Yakin Boleh memberikan satu makna besar untuk dihayati oleh golongan belia kerana ia bukan sahaja menanamkan semangat kepada mereka untuk percaya pada bakat dan potensi masing-masing tetapi juga mengajak golongan ini kembali untuk menghayati makna nasionalisme yang lebih luas selari dengan teknologi yang telah mengubah cara berfikir, cara kehidupan dan cara bekerja,” katanya selepas merasmikan Program Semarak Hari Belia Negara @ Kementerian Belia dan Sukan (HBN @ KBS) 2024 pada Rabu.

Hadir sama Ketua Setiausaha KBS, Ts Dr Nagulendran Kangayatkarasu dan Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Mohd Azhari Mohammad.

Dalam pada itu, Adam Adli berkata HBN merupakan satu pengiktirafan dan penghargaan oleh kerajaan kepada belia untuk memperkukuhkan potensi modal insan belia sebagai pemacu pembangunan strategik negara.

“Ia sekali gus memperluaskan akses belia kepada inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan selaras dengan kerangka Malaysia MADANI dan Model Pembangunan Belia MADANI 2030 (MPBM 2030).

“Program Semarak HBN @ KBS 2024 diadakan bersempena Hari Belia Negara yang disambut pada 15 Mei setiap tahun sarat dengan pelbagai pengisian termasuk Bacaan Ikrar Belia Malaysia, Konvensyen Belia Integriti Nasional dan aktiviti Gaya Hidup Rakan Muda.

“Konvensyen Belia Integriti Nasional dengan kerjasama Institut Integriti Malaysia (IIM) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) berkenaan diadakan bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan peserta mengenai keselarasan antara tindakan dengan prinsip moral, etika dan undang-undang. Konvensyen ini juga menyentuh mengenai pelaksanaan kod etika, piagam pelanggan serta sistem dan proses kerja yang mematuhi amalan terbaik,” ujarnya.

Selain itu, beliau berkata KBS turut menjalinkan kerjasama strategik dengan Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) untuk melaksanakan bacaan Ikrar Belia Malaysia di seluruh institusi pendidikan di bawah pentadbiran masing-masing yang mana melibatkan belia berumur 15 hingga 30 tahun serentak di seluruh negara.

“HBN akan diteruskan di peringkat negeri bermula pada 17 hingga 19 Mei 2024 dengan diisi oleh Majlis Penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Negeri.

“Seterusnya, kemuncak sambutan HBN penganjuran Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Kebangsaan pula akan diadakan pada 24 hingga 26 Mei 2024 di Dataran Pahlawan, Banda Hilir, Melaka manakala majlis perasmian akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 25 Mei ini,” ujar beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas