Biz

Usahawan alaf baharu perlu lebih pantas

KHAI dan Rosma fokus dalam bidang pemasaran digital.
- Diterbit 19 Januari 2024 4:00 PM MYT

PEREDARAN arus masa menyaksikan media sosial memiliki pengaruh yang sangat besar dalam masyarakat hari ini. Bukan sahaja dari segi kehidupan setiap hari bahkan ia turut membawa perubahan dalam bidang perniagaan.

Bagi usahawan masa kini, pemasaran digital merupakan strategi yang perlu diambil berat untuk memastikan lebih ramai mereka di luar sana mengenali jenama yang dikeluarkan selain sedar kewujudannya di alam maya.

Berpandangan sama, penyanyi yang kini merupakan usahawan digital, Mohammad Khairul Nizam Mohammad Wahi atau Khai mengakui evolusi dalam bidang pemasaran digital sangat pantas dan usahawan perlu sentiasa mengikuti dunia semasa.

“Sebagai contoh, legasi KR Successful Sdn Bhd yang dibangunkan saya dan isteri, Rosma pada tahun 2014 fokus pemasaran kami adalah di laman sosial Instagram sahaja secara percuma tetapi selepas itu beralih ke platform lain sehinggalah sekarang makin banyak persaingan baharu seperti Shopee dan terkini TikTok.

“Jadi, kita perlu sentiasa arif dengan perubahan supaya tidak jauh ketinggalan. Pendek kata kena ada ilmu atau seseorang seperti mentor atau rajin mengikuti kelas untuk mendalami ilmu-ilmu pemasaran yang dapat memberi input berguna.
“Dalam masa yang sama, zaman sekarang ini, kita kena akui tak semestinya orang muda yang tiada pengalaman dalam perniagaan tidak bagus, kerana ini zaman mereka dan semestinya golongan ini lebih tahu ilmu pemasaran digital,” ujarnya.

Tambah pemilik produk MS SenaRos dan Inai Al Attas ini lagi, perjalanan dalam bidang perniagaan bukanlah semudah yang disangkakan biarpun dia mempunyai tiket sebagai seorang selebriti.

“Kalau kita dikenali sekalipun tetapi ia perlu diiringi pergerakan dan tindakan juga sebab kalau sekadar ada nama tapi tak ada pemasaran sukar untuk menjual produk. Sebagai selebriti misalnya, saya sendiri berhadapan dengan tanggapan masyarakat yang mengenali diri ini sebagai penghibur bukan penjual barang.

“Untuk menukar persepsi orang ramai itu memerlukan komitmen yang tinggi disebabkan itulah pada permulaan perniagaan ini, saya dan isteri sentiasa turun padang dan kami bermula daripada bawah. Tiada jalan mudah untuk berada di tahap seperti sekarang.

“10 tahun lalu kami berniaga dari rumah, bergelar duta untuk beberapa produk dan daripada situ saya terfikir suatu hari nanti akan bersara dan perlunya perancangan yang lebih kukuh untuk hari tua,” ujarnya mereka yang mengikuti perjalanan bisnesnya daripada awal tahu suka duka yang dilaluinya.

Bercerita lanjut tentang produk produk minuman kesihatan dan detoks MS SenaRos dan Inai Al Attas, kedua-duanya mempunyai pengikut yang tersendiri sehingga berjaya mendapat pengiktirafan anugerah Asia Pasific Top Excellence Brand sejak tahun 2018 hingga 2022.

Menyentuh tentang strategi perniagaan pada tahun ini, bagi untuk mengukuhkan lagi bidang pemasaran digital, dia bakal melantik beberapa wajah untuk menjadi pengacara live di platform media sosial produknya sekali gus turut menguatkan jenama.

“Sekarang ini musim live di media sosial, jadi kita perlu bersaing. Kalau sebelum ini hanya saya dan Rosma ke hadapan untuk mempromosikan produk sendiri tanpa ada perantaraan pempengaruh media sosial dan sebagainya jadi tahun ini saya ada perancangan ke arah itu.

“Namun untuk menjual produk MS SenaRos misalnya mereka perlu ada ilmu tentang produk penjagaan badan, mesti pernah minum jadi lebih meyakinkan pembeli,” ujarnya produk Inai Al Attas telah memasuki pasaraya KK Mart seluruh Lembah Klang. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas