Berita

Jumlah kerugian akibat banjir tahun lalu bernilai RM800 juta

- Diterbit 11 Mac 2024 4:10 PM MYT

JABATAN Perangkaan Malaysia (DOSM) menyatakan jumlah kerugian keseluruhan akibat banjir tahun lalu bernilai RM800 juta bersamaan 0.04 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar nominal.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata tempat kediaman mengalami kerugian sebanyak RM168.3 juta, kenderaan RM22.3 juta, premis perniagaan RM53.2 juta, pertanian RM120.6 juta serta aset awam dan infrastruktur sebanyak RM380.7 juta.

“Dari segi tempat kediaman, Johor mencatatkan kerugian tertinggi berjumlah RM121.9 juta, diikuti Kelantan RM15.4 juta dan Sabah RM11.0 juta.

“Bagi kenderaan pula, tiga negeri yang mencatatkan kerugian tertinggi adalah Johor RM15.9 juta, Selangor RM1.8 juta dan Sabah RM1.6 juta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Uzir, dari segi kerosakan sektor pembuatan, Johor merekodkan kerugian dengan nilai keseluruhan berjumlah RM10.3 juta.

“Sementara itu, negeri Johor turut mencatatkan jumlah kerugian premis perniagaan tertinggi, berjumlah RM29.8 juta disusuli negeri Kelantan dengan jumlah kerugian bernilai n RM19.8 juta dan seterusnya negeri Terengganu RM2.9 juta,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas