Berita

MARA sahkan kes COVID-19 di MRSM Bentong

||
- Diterbit 4 Februari 2021 6:19 AM MYT

SUSULAN laporan beberapa portal mengenai kes jangkitan COVID-19 di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Bentong semalam, MARA mengesahkan wujudnya kes jangkitan seperti disiarkan.

Namun, agensi itu dalam satu kenyataan media, menegaskan, laporan sebuah portal yang dipetik daripada ‘sumber ibu-bapa’ itu didapati membuat beberapa dakwaan yang tidak tepat.

Menurut kenyataan itu, pihak pengurusan maktab sentiasa memberi maklumat terkini kepada ibu bapa dan semua kakitangannya mengenai situasi sebenar dan tidak timbul soal kononnya ibu bapa tidak diberikan apa-apa makluman.

Malah katanya tiada sebarang arahan dikeluarkan supaya pelajar mendiamkan diri mengenainya.

“Bahkan sejak awal kes jangkitan telah dikesan Pejabat Kesihatan Daerah Bentong (PKD) sudah terlibat secara langsung bagi melaksanakan ujian saringan dan menguatkuasa Prosedur Operasi Standard (SOP) keselamatan serta kesihatan sebagaimana telah ditetapkan pihak berwajib.

“MRSM Bentong telah mengambil langkah segera sewajarnya menubuhkan Jawatankuasa Bencana COVID-19 MRSM Bentong bagi menguruskan kes yang berlaku,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

MARA memaklumkan, dalam masa sama pihak maktab terus berhubung dengan PKD berkenaan kes pelajar dan pekerja dewan selera yang telah dijangkiti sebelum ini.

Jelasnya, seramai 38 pelajar, lima pekerja dewan selera dan enam petugas asrama selain seorang guru sebagai kontak rapat bagi pelajar disahkan positif COVID-19 telah menjalani ujian calitan bagi mengesan simptonnya atas nasihat PKD.

Selain itu, pemantauan secara berterusan turut dilakukan oleh Klinik Kesihatan Bentong dengan membuka klinik bergerak setiap hari di maktab

Pelajar didapati bergejala dan positif pula dibuat pengasingan, ditempatkan di rumah warden yang dikhaskan serta tidak menggunakan kemudahan yang sama dengan pelajar lain.

“Jadi aspek kebajikan pelajar adalah fokus utama maktab hadapi situasi ini, memastikan makanan sentiasa mencukupi dan pelajar turut dibekalkan makanan tambahan dengan dihidangkan secara bungkus dan diserah di bilik masing-masing.

“Kesemua pelajar dikuarantin selama 10 hari dan dipantau secara dekat oleh pasukan perubatan PKD, dalam masa sama, kerja-kerja pensanitasi telah dilakukan oleh pasukan bomba di asrama, bilik kuliah dan sekitar maktab,” jelasnya sambil menyatakan kerja-kerja pensanitasi dilakukan setiap hari oleh pihak maktab dengan kerjasama bomba bagi menangani penularan COVID-19.

Di samping itu, bagi memastikan pelajar mampu teruskan pembelajaran dengan sempurna, pihak
maktab turut membekalkan peranti serta gajet bersesuaian untuk mereka yang memerlukannya mengikuti pembelajaran atas talian, seterusnya membuat persediaan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kelak.

Dalam pada itu, pergerakan pelajar yang lain turut dikawal dengan hanya terhad di aras bilik mereka sahaja selain tempatkan hanya seorang pelajar bagi setiap bilik untuk memastikan penjarakkan sosial diamalkan setiap masa.

“Semua langkah dilaksanakan atas nasihat PKD dan mengikut SOP keselamatan telah ditetapkan di samping guru homeroom dan kaunselor turut terlibat aktif dalam memberikan sokongan emosi dan dorongan positif kepada pelajar sepanjang menghadapi kes jangkitan ini.

” MARA ingin tegaskan dalam hadapi jangkitan COVID-19, pengurusan MRSM sentiasa mengikuti SOP dengan dipantau pihak berwajib. Ibu bapa dinasihat berhubung dengan pengurusan maktab sekiranya timbul kebimbangan mengenai situasi semasa anak-anak,” katanya sambil menegaskan MARA sentiasa mengambil berat dan kekal peka mengenai keperluan pelajar terutamanya aspek keselamatan ketika menghadapi pandemik ini. – SYAHIDI BAKAR – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas